MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

About Melaka

Mengenai Melaka
 
Malaysia terletak satu hingga tujuh darjah ke utara garisan khatulistiwa. Negeri Melaka, salah satu dari empat belas negeri dalam Malaysia, terletak di Barat Daya Semenanjung Malaysia mengadap Selat Melaka bersempadan dengan Negeri Sembilan di Utara dan Johor di Selatan.
 
Keluasan Melaka adalah 1,650 kilometer persegi dan ianya dibahagikan kepada tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.
 
Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) membolehkan Melaka diakses dari semua negeri di Malaysia. Perjalanan ke Melaka mengambil masa satu jam setengah melalui jalanraya dari Kuala Lumpur dan lebih kurang tiga jam dari Singapura.
 
Salah satu cara lain untuk sampai ke Melaka adalah dengan menggunakan jalan tepian pantai dari Kuala Lumpur yang melalui Klang, Morib dan Port Dickson sebelum sampai ke Melaka. Mereka dari Singapura boleh mengambil jalan indah yang melalui kawasan kampung dan ladang.
 
 
Sejarah Melaka
 
Melaka amat dikenali kerana keunikan sejarahnya. Sejarah Melaka bermula apabila Parameswara putera raja dari Palembang telah terlibat dalam peperangan merebut takhta kerajaan Majapahit pada akhir abad ke-14. Setelah ditumpaskan oleh Majapahit, baginda telah lari mencari perlindungan ke Temasik yang pada ketika itu dikuasai oleh Siam. Setelah diusir dari Temasik oleh penjajah dari Siam, pada tahun 1396, beliau dan pengikut-pengikutnya mengundurkan diri ke Muar dan kemudiannya ke Sungai Ujong sebelum singgah di Bertam iaitu berdekatan dengan muara sungai Melaka.
 
Setelah tiba di Bertam, baginda telah melihat anjing perburuannya ditendang oleh seekor pelanduk putih. Baginda amat kagum dengan keberanian pelanduk putih tersebut dan membuat keputusan untuk membuka negeri di situ. Baginda telah bertanyakan nama pohon tempat baginda bersandar dan pengikutnya memberitahu bahawa nama pohon tersebut adalah pohon Melaka. Maka baginda telah membuat keputusan untuk menamakan negerinya sempena nama pohon tersebut.
 
Pilihan Parameswara begitu tepat sekali kerana kedudukan Melaka yang strategik. Lokasinya di tengah-tengah tebing Selat Melaka yang menghubungkan negara China ke India dan Timur telah menjadikannya tempat yang amat sesuai sebagai pusat perdagangan. Kedatangan pedagang-pedagang Arab serta pedagang-pedagang dari Timur dan Barat telah menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot yang sibuk dengan ratusan kapal yang singgah setiap tahun. Parameswara yang telah memeluk Islam melalui seorang ulama dari Jeddah pada tahun 1414 telah meletakkan asas kemajuan negeri Melaka sebagai pusat perdagangan dan pengembangan agama Islam yang terulung di rantau ini.
 
Melaka terus terkenal sebagai pusat perdagangan Melayu di Timur. Antara barang dagangan yang boleh didapati di Melaka adalah sutera dan porselin dari China, kain dari Gujerat serta Coromandel di India, kapur barus dari Borneo, cendana dari Timor, buah pala dan bunga cengkih dari Molucas, emas dan lada hitam dari Sumatera serta timah dari Tanah Melayu.
 
 
Lirik Lagu Negeri Melaka
 
"MELAKA MAJU JAYA"
 
MELAKA NEGERI BERSEJARAH
TEMPAT TUMPAH DARAH KITA
DIJUNJUNG DENGAN SEPENUH JIWA
UNTUK MAJU DAN JAYA
 
RAKYAT MELAKA SUDAH BERSATU PADU
BERIKRAR TAAT SETIA
JUJUR BERKHIDMAT SETIAP MASA
MELAKA MAJU JAYA
 
sumber dari melaka.gov.my