MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Nor Fadli, Yeni Ermita dinobat Olahragawan dan Olahragawati UTeM

MELAKA 3 Jun - Kecemerlangan Nor Fadli Normohamed dan Yeni Ermita Daswir dalam bidang sukan telah melayakkan mereka merangkul Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) 2013.

Kejayaan itu diterima kedua-dua pelajar berkenaan sempena majlis Anugerah Sukan UTem yang diadakan di Kampus UTeM Durian Tunggal, di sini baru-baru ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan UTeM, Nor Fadli dipilih menerima anugerah berkenaan hasil sumba­ngan dan pencapaian cemerlangnya dalam bidang olahraga termasuk merangkul tiga pingat emas dalam acara olahraga tahunan UTeM.

"Penganugerahan itu turut didorong kejayaan Nor Fadli yang memperolehi dua pingat perak di Kejohanan Olahraga Terbuka Melaka, satu pingat gangsa di Kejohanan Olahraga Terbuka Sela­ngor serta satu pingat emas di Kejohanan Orienteering Universiti Islam Antarabangsa," kata kenya­taan itu.

Sementara itu, bagi anugerah olahragawati UTeM, atlet sukan mendayung, Yeni Ermita berjaya meraih pingat gangsa di Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum), pingat emas di kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur dan mewakili negara dalam acara mendayung Sukan SEA Vietnam.

Berikutan kejayaan itu, Nor Fadli merupakan pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan dan Yeni Ermita dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi masing-masing menerima hadiah berupa piala, sijil penghargaan dan wang tunai RM300 setiap seorang.

Jelas kenyataan itu lagi, anuge­rah olahragawan kategori kakitangan pula dimenangi Shamsul Sabtu yang cemerlang dalam sukan olahraga dan bolasepak manakala Norashikin Hashim yang cemerlang dalam acara olahraga dan bola jaring menerima anugerah olahragawati.

"Bagi anugerah berpasukan pula, pasukan tenpin boling lelaki memenangi anugerah Pasukan Cemerlang manakala pasukan olahraga lelaki veteran memenangi sama bagi ka­tegori kakitangan," tambah kenya­taan itu.

Kesemua anugerah disampaikan oleh Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan yang turut dihadiri Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan pengurusan kanan universiti.

Sumber:Sinar harian