MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Rahim Thamby Chik mohon Jabatan Peguam Negara tarik balik tuduhan hasutan

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik telah menghantar surat perwakilan kepada Jabatan Peguam Negara, supaya pertuduhan menerbitkan kata-kata berbaur hasutan yang dikenakan ke atasnya, ditarik balik

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman memaklumkan mahkamah, beliau baru menerima surat itu dan memohon tarikh lain untuk keputusan, ketika kes itu disebut semula di hadapan hakim, Slamat Yahya.
 
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 1 Mac ini untuk mengetahui keputusan Jabatan Peguam Negara berhubung surat perwakilan itu.
 
Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Abdul Rahim memberitahu, surat perwakilan itu diserahkan pada 17 Disember lalu.
 
Mengenai kandungan surat itu, Wan Azmir berkata, pihaknya memohon pertuduhan itu ditarik balik, atas alasan niat anak guamnya itu bukan untuk menghasut.
 
Abdul Rahim, 65, turut hadir di mahkamah hari ini.
 
Pada 5 Oktober lalu, Abdul Rahim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerbitkan kata-kata berbaur hasutan terhadap Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin menerusi akaun Facebooknya.
 
Dia didakwa di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948, kerana menyebarkan khabar angin yang mendakwa Tengku Amir Shah murtad dan menganut agama Kristian.
 
Dia turut mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kerana menerbitkan kenyataan palsu melalui aplikasi laman web.
 
Abdul Rahim didakwa menyiarkan “Berita pertukaran agama oleh Putera Sultan Selangor, Tengku Amer Shah, ke Katholokisme amat menyedihkan umat Islam di seluruh negara dan dunia”.
 
Dia turut menulis “Kesedihan ini ditambah dengan dua tragedi timpa umat Islam di Mekah dan Arafah. Moga hasrat Sultan Selangor bertemu Pope Vatican City akan berhasil”, pada jam 8 pagi 25 September lalu, di Istana Mestika, Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam.
 
- bm.therakyatpost.com