MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

PR mahu polis ambil tindakan tegas

AYER KEROH - Kepimpinan PR menuntut Ketua Polis Negara dan polis mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang dikenal pasti terbabit dalam insiden kekacauan di hadapan pejabat DAP di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, mereka yang dikenal pasti ini, termasuk menerusi gambar kejadian yang dimuat naik di laman sosial, mesti diheret ke muka pengadilan sebagai amaran kepada umum supaya tidak terlibat dalam kegiatan gangsterism.

Menurutnya, polis tidak sepatutnya memandang ringan kejadian sebegini kerana ia dilihat sebagai bibit-bibit awal keretakan dalam keharmonian negara.

“Dalam hal ini, saya dan barisan kepimpinan PR ingin menuntut satu tindakan yang tegas dari Ketua Polis Negara,  khususnya PDRM supaya mereka yang dikenal pasti menerusi gambar dan sebagainya  diheret ke muka pengadilan.

“Mereka yang terlibat mesti dibawa ke muka pengadilan dan dituduh dengan beberapa kesalahan yang telah pun diperuntukkan dalam akta terutama Kanun Keseksaan.

“Tentunya jika mereka dituduh akan memberi ingatan kepada kelompok lain supaya tidak terlibat dalam budaya gangterism ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan sekumpulan lelaki yang didakwa sebagai ahli Pemuda Umno bertindak liar di luar pejabat DAP.

Mengenai insiden sekumpulan lelaki menceroboh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Shamsul Iskandar, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, perkataan ‘celaka’ yang didakwa diungkapkan Adun Sri Delima, RSN Rayer, tidak berbeza dengan penghinaan dan tindakan mengaibkan pemimpin PR yang dilakukan BN selama ini.

Tambahnya, beberapa poster yang dibawa mereka semasa insiden itu turut memuatkan perkataan yang menghina yang mana boleh juga mengundang tindakan ganas serupa dari AMK, Dapsy dan Pemuda Pas.

“Bagaimanapun, kita tidak guna pendekatan seperti itu (menggunakan gangsterism) kerana kita faham budaya negara adalah demokrasi dan kalau kita marah sekalipun kita akan guna kotak undi (untuk tindakan) apabila tiba masanya nanti,” katanya.

Sementara itu, Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong, yang turut hadir pada sidang media itu menasihatkan semua ahli dan penyokong PR supaya bersabar.

Menurutnya, apa yang berlaku ini merupakan satu provokasi dan perangkap untuk cuba mencabar kesabaran ahli dan penyokong PR.

Sumber:Sinar Harian