Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Melaka Tengah yang turut disertai Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri.

Pengerusi biro tersebut, Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, Pemuda UMNO mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas Ahli Parlimen DAP itu kerana kenyataannya menyinggung perasaaan umat Islam di negara ini.

Menurutnya, kenyataan yang dibuat oleh Oscar dilihat sebagai provokasi secara terang-terangan yang boleh mendatangkan kemarahan umat Islam dan mencetuskan ketegangan antara agama.

“Tidak wajar bagi seorang ahli Parlimen seperti beliau cuba mempertikaikan wujudnya sekolah agama Islam menjadi punca berlaku ketegangan atau perpecahan kaum di negara ini.

“Saya ingin bertanya apakah niat beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa. Beliau mungkin tidak sedar Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(3) menyebut Islam adalah agama bagi Persekutuan yang bermaksud Islam bukan sekadar agama rasmi yang terhad kepada amalan berbentuk keagamaan dan ritual semata-mata tetapi turut terpakai dalam perkara-perkara melibatkan dasar dan undang-undang negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan terhadap Ahli Parlimen Sibu itu di Balai Polis Melaka Tengah, di sini hari ini.

Mohd. Rafiq berkata, Oscar tidak sepatutnya mempersoalkan perkara tersebut kerana ia sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai seorang ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat beliau sepatutnya tahu soal undang-undang dan Perlembagaan negara kerana beliau antara yang terlibat untuk menggubal akta di Parlimen dan kenapa mesti membuat kenyataan yang tidak berasas sama sekali,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta pihak berkuasa mengambil tindaan sewajarnya ke atas Ahli Parlimen Sibu itu kerana kenyataan beliau boleh menjejaskan keharmonian negara.

Sumber:Utusan malaysia