MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Laporan audit: Lori tangki, makmal susu terabai 3 tahun

Lori tangki susu di Sabah dan makmal kualiti susu yang baharu dibina di Melaka diabaikan selama 3 tahun, dedah Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2, hari ini.

Dalam laporan itu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, ini adalah sebahagian kelemahan Projek Kluster Tenusu di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
 
Projek ini bertujuan mengurangkan kebergantungan negara terhadap pengimportan susu segar dengan mewujudkan kluster tenusu tempatan di bawah pengawasan syarikat peneraju dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
 
Projek yang menelan belanja RM709 juta dimulakan pada 2011 dan kerajaan akan membiayai maksimum 30%, daripada projek itu, manakala bakinya dibiayai syarikat peneraju.
 
Laporan itu turut mendedahkan setakat Mac 2016, bilangan lembu tenusu dan pengeluaran susu masih rendah serta tidak mampu mencapai objektif disasarkan untuk meningkatkan hasil susu negara daripada 2% kepada 5% menjelang 2020.
 
Kelemahan lain yang dikenal pasti termasuk pengurangan bilangan lembu tenusu akibat kematian, kecurian, kehilangan atau dijual, peralatan rangkaian sejuk yang tidak digunakan serta lembu tenusu tidak boleh hamil.
 
Bukan itu sahaja, satu lagi kelemahan ialah fasal tidak lengkap dalam dokumen kontrak, seperti butiran kos projek keseluruhan, sasaran mewujudkan pekerjaan baharu dan penambahan dalam bilangan lembu tenusu.
 
Sehubungan itu, ketua audit negara mencadangkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengkaji kaedah bagi menentukan pendekatan paling sesuai untuk menambah bilangan lembu tenusu pada kos optimum dan memilih penternak paling berkebolehan dan komited bagi memastikan pembiakan berterusan lembu tenusu.
 
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan syarikat peneraju perlu meningkatkan pemantauan terhadap pengurusan perolehan lembu tenusu hamil dan bebas jangkitan, penarikan balik, kematian, kehilangan atau jualan lembu tenusu, penggunaan berkesan peralatan rantaian sejuk dan sistem rekod untuk menilai prestasi projek tenusu.”
 
Ketua audit negara berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar perlu memastikan lori tangki susu dan makmal kualiti susu digunakan sebaik mungkin disebabkan implikasi kos dan bagi memastikan kerajaan mendapat nilai untuk wang.

- freemalaysiatoday