MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Kemukakan bukti jika Hang Tuah figura mitos

Semua pihak termasuk ahli sejarah dan akademik perlu menampilkan bukti kukuh dan tidak bergantung kepada penafian serta keraguan berdasarkan teori semata-mata jika mahu berterusan mendakwa Hang Tuah hanya figura mitos.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata bukti kewujudan Hang Tuah sudah banyak ditampilkan dan disahkan kebenarannya, maka mereka yang berterusan menolak kewujudan pahlawan Melayu itu perlu menunjukkan bukti kukuh bagi menafikannya.
 
“Bila ada orang mahu menceritakan Hang Tuah itu tidak wujud mereka harus dan mesti punyai asas kukuh lain yang boleh buktikan dengan bukti nyata Hang Tuah tidak wujud.
 
“Jika tidak mampu berbuat demikian hentikan mempersoalkan kewujudan Hang Tuah, jangan jadikan ini suatu polemik yang tidak memberi faedah,” katanya.
 
Sebelum ini, pakar sejarah Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berpendapat ujian DNA perlu dilakukan bagi membuktikan sama ada Hang Tuah itu wujud atau hanya sebuah cerita dongeng semata-mata.
 
Seorang lagi pakar sejarah Prof Dr Ahmat Adam mengakui seorang Laksamana Kesultanan Melayu Melaka wujud tetapi menolak laksamana itu Hang Tuah, malah dalam sebuah portal baru-baru ini, Ahmat mendakwa perasaan rendah diri orang Melayu membuatkan mereka memerlukan seorang wira untuk dipercayai iaitu Hang Tuah.
 
Idris berkata mana mungkin Hang Tuah suatu kisah mitos kerana perincian mengenai kisah sejarah figura Melayu itu diceritakan secara terperinci untuk lebih 600 tahun bukan saja dalam sejarah orang Melayu di negara ini malah di Nusantara di seluruh dunia.
 
“Bagi sesebuah cerita ditulis secara terperinci bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat, diceritakan terperinci pakaiannya, senjatanya, madah pantunnya, perkataan yang digunakan malah sorakan orang di sekeliling semuanya dicatatkan, jadi masakan itu (kisah Hang Tuah) boleh jadi dongengan,” katanya.
 
Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia Prof Datuk Dr Mohd Jamil Mukmim berkata kewujudan Hang Tuah tidak sepatutnya menjadi sebuah polemik kerana jelas terbukti kewujudan laksamana itu melalui kajian pakar sejarah dan sastera lebih 60 tahun lepas.
 
“Sebenarnya komuniti cendekiawan sudah lama menerima fakta Hang Tuah itu wujud melalui sejarah bukan saja (sejarah) Melayu tetapi dari China, Portugis dan yang terbaharu Jepun.
 
“Orang kata Hang Tuah tidak wujud kalau tiada bukti tetapi sekarang bukti sudah ada, jadi semuanya terbukti, yang tidak setuju (kewujudan Hang Tuah) dua orang itu saja, orang lain setuju kerana bukti sudah ada,” kata ahli sejarah itu tanpa menamakan dua individu tersebut.
 
Jamil berkata sepanjang perbincangan tentang kewujudan Hang Tuah, pihak yang menyangkal kewujudan pahlawan itu gagal memberikan bukti baru yang kukuh bagi menafikan kewujudan Hang Tuah.
 
Beliau dan pasukan pengkajinya pada masa ini sedang giat mengkaji jejak perjalanan Hang Tuah dari Pahang ke Melaka dalam misi laksamana legenda itu membawa Tun Teja ke Melaka.
 
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata figura Hang Tuah berkait rapat dengan jati diri orang Melayu, maka sebarang cubaan ‘memadam’ Hang Tuah ialah perbuatan yang cuba mengancam jati diri orang Melayu.
 
“Tidak pernah terfikir dalam fikiran saya Hang Tuah itu tidak wujud kerana nama itu sudah sebati dalam diri orang Melayu sejak dulu lagi, malah banyak bukti ditampilkan mengenai kewujudan Hang Tuah.
 
“Jadi mengapa perlu terus persoal lagi Hang Tuah wujud atau tidak, mengapa tidak kita lakukan banyak kajian lagi bagi mengetahui lebih mendalam mengenai Hang Tuah supaya suatu hari nanti anak cucu kita kekal faham dan tahu lebih mendalam tentang Hang Tuah,” katanya.
 
– bernama