MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Yayasan Melaka selesaikan lebih 60% hutang

Yayasan Melaka (YM) telah menyelesaikan lebih 60 peratus daripada jumlah hutangnya berjumlah RM268 juta yang direkodkan pada awal 2014, kata Pengurus Besarnya Datuk Zaini Md Nor.

Beliau berkata hutang berkenaan dijangka dapat terus dikurangkan kepada RM54 juta menjelang akhir tahun ini.
 
"Sehingga 31 Dis tahun lepas, baki hutang YM adalah sebanyak RM102 juta dan kita jangkakan hutang ini akan terus dapat dikurangkan kerana aliran tunai YM semakin baik pada tahun ini.
 
"Kejayaan YM mengurangkan beban hutang ini selepas penstrukturan semula anak syarikat miliknya selain penstrukturan semula pemilikan sahamnya di Bursa Malaysia dengan menjual saham yang tidak memberi keuntungan kepada syarikat," katanya kepada pemberita di Melaka hari ini.
 
Beliau ditemui selepas majlis pecah tanah bangunan baharu Yayasan Melaka di Jalan Tun Ali yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.
 
Zaini berkata YM mencatatkan keuntungan berjumlah RM32.7 juta pada tahun lepas, iaitu yang tertinggi sejak ditubuhkan pada 15 Sept 1984.
 
Beliau berkata sehingga kini, YM memiliki aset bernilai RM356 juta melibatkan hartanah termasuk dua unit kondominium di Bangsar, Kuala Lumpur dan rumah kedai empat tingkat di Banda Hilir di sini yang bernilai lebih RM2 juta.
 
Dalam perkembangan lain, beliau berkata YM sentiasa membantu kerajaan dalam sektor pendidikan melalui sumbangan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) untuk bantuan dan biasiswa pelajar di peringkat sekolah rendah sehingga institusi pengajian tinggi.
 
Katanya setiap tahun YM menyumbang sebanyak RM5.5 juta kepada Tapem dengan jumlah kira-kira RM47 juta sejak 15 tahun lepas.
 
Zaini berkata YM turut memperuntukkan RM400,000 setahun bagi program bahasa Inggeris melibatkan 30 sekolah luar bandar bagi membantu pelajar meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan.
 
YM antara anak syarikat kerajaan negeri Melaka yang sebelum ini dilapor menghadapi masalah kewangan teruk, menyebabkan kerajaan negeri melakukan rombakan semula dalam kepimpinan organisasi berkenaan yang turut melibatkan pelantikan Zaini sebagai pengurus besar pada 1 Jan 2014.
 
YM menjalankan perniagaan dalam pelbagai bidang antaranya pendidikan melalui Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka, hartanah dan pelaburan bagi membantu rakyat Melaka menerusi keuntungan perniagaan yang diperolehnya.
 
- Bernama