MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

TNB Bersama Komuniti bantu selesai masalah rakyat

Orang ramai kini boleh menyuarakan sebarang pendapat serta masalah yang dihadapi berkaitan bekalan elektrik di kediaman atau kawasan perumahan masing-masing secara terus kepada wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) negeri menerusi Program TNB Bersama Komuniti.

Pengurus Besar TNB negeri, Baderul Sham Saad berkata, menerusi program berkenaan pihak-nya secara tidak langsung akan memperoleh pelbagai maklum balas bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan.

“Kami sentiasa memberikan tumpuan kepada penyediaan bekalan elektrik yang berdaya harap dan berkualiti tinggi di samping memberikan perkhidmatan sebaik mungkin.

“Sudah tentu dalam masa memberikan perkhidmatan ini akan berlaku beberapa kelemahan di pihak kami yang perlu dikenal pasti dan diatasi.

“Oleh yang demikian, program tersebut membolehkan kami mendapatkan maklum balas tentang keberkesanan perkhidmatan sedia ada untuk diambil tindakan yang sewajarnya dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis yang diadakan di Kompleks Japerun Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong di sini semalam.

Hadir merasmikan program tersebut ialah Pengerusi Jape-run DUN Duyong, Datuk Zaini Ismail.

Menurutnya, program julung kali diadakan itu akan menjelajah ke setiap DUN bagi memastikan segala masalah rakyat berkaitan bekalan elektrik dan keselamatan elektrik diambil perhatian.

“Saya menyeru orang ramai agar tidak melepaskan peluang ini untuk memberikan pandangan, teguran dan kritikan yang membina agar apa juga masalah yang dibangkitkan akan dapat diselesaikan dalam suasana harmoni,” katanya.

Katanya, pada program tersebut, satu sesi dialog dan taklimat mengenai bekalan elektrik turut diadakan.

Dalam pada itu, Baderul Sham turut mengingatkan orang ramai agar berjimat cermat selain memastikan keselamatan dalam menggunakan tenaga elektrik.

Sumber:Utusan malaysia