Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa ini terdapat banyak bidang baharu yang mempunyai permintaan tinggi dari luar negara boleh diceburi golongan berkenaan termasuk ternakan akuarium seperti batu karang, ikan hiasan, rumpai laut, gamat dan sebagainya.

Menurutnya, mereka tidak perlu lagi terikat dengan produk pertanian tradisional seperti buah-buahan dan sayur-sayuran tetapi mesti mempunyai kreativiti melibatkan diri dengan produk baharu pertanian yang dilihat berpotensi menembusi pasaran antarabangsa.

“Justeru, saya minta golongan peladang, petani dan sebagainya mengikut rentak pasaran semasa bagi memastikan produk keluaran mereka mendapat sambutan dan boleh dipasarkan secara lebih meluas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) peringkat negeri dan Road To HPPN Kebangsaan 2015 di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Rambai, di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Naim Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman.

Jelas Ismail Sabri, produk pertanian tradisional juga tidak boleh dilupakan, namun perlu diinovasikan mengikut keperluan dan kehendak pasaran semasa serta pengguna.

“Kita sudah tidak boleh lagi tanam tanaman yang kita suka, sebaliknya perlu mengubah kepada produk tanaman yang diperlukan serta mengikut kehendak pasaran,” ujarnya.

Malah katanya, kerajaan turut menyediakan pelbagai peruntukan kepada golongan tersebut untuk projek pertanian termasuk projek tanaman semula pokok bagi menyesuaikannya dengan permintaan semasa.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, HPPN memberi peluang kepada golongan peladang, penternak dan nelayan untuk meningkatkan usaha melalui pembelajaran berkenaan teknologi baharu, mencari ruang pemasaran, mempamer serta mempromosikan produk masing-masing.

“Saya berharap para peladang, penternak dan nelayan akan terus meningkatkan produktiviti makanan dengan memastikan pengeluaran hasil pertanian negara pada tahap terbaik terutamanya dari sudut kualiti dan keselamatan melalui Amalan Pertanian Terbaik (GAP) yang menekankan aspek alam sekitar, ekonomi dan sosial,” tambahnya.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi 14 kategori pertandingan HPPN peringkat negeri 2015 antaranya Pertubuhan Peladang Jaya yang dimenangi Pertubuhan Peladang Kawasan Jasin serta Peladang Jaya Lelaki dan Wanita masing-masing dimenangi Anuar Jantan dan Nabihah Karim.

Sumber:Utusan Malaysia