MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Tan, Ramli & Sothi

Melaka: Biarpun bersahabat sejak kecil dan masing-masing mempunyai kehidupan sendiri, namun hubungan tiga sekawan ini, tetap rapat hingga ke usia emas tanpa mengira batasan bangsa dan agama.

Begitu kehidupan tiga sekawan iaitu Tan Kim San, 74, Ramli Daud, 70, dan A Sothi Vadamalai, 68, yang tinggal di Kampung Pulau Kelapa, Batu Hampar dan Pantai Peringgit, di sini, kerana hubungan mereka masih utuh walaupun zaman berlalu.

Bagi mereka, air dicincang tidak akan putus kerana membayangkan hubungan yang terjalin sekian lama ibarat seperti adik-beradik.


 

Lebih menarik, Tan dan Sothi masih menggunakan basikal untuk bergerak setiap hari, kecuali Ramli bermotosikal dan sesekali menaiki kereta Perodua Kancil akibat masalah kesihatan.

Ramli berkata, dua sahabatnya itu masih berbasikal ke mana saja, walaupun mampu memiliki kereta dan motosikal.

Katanya, Tan anak kepada tauke kedai runcit yang ketika itu satu-satunya kedai untuk penduduk Kampung Batu Hampar dan sekitar Peringgit untuk membeli keperluan harian sejak lebih 50 tahun lalu.

“Kedainya (bapa Tan) masih kekal sehingga kini, cuma lokasinya berubah tidak jauh dari kedai kayu asal milik ayahnya.

“Biasanya penduduk menggunakan buku 555 untuk membeli keperluan harian secara hutang di kedainya. Apabila sudah mempunyai wang baru dijelaskan. Sikap baik hati keluarga Tan amat dihargai penduduk, sekali gus mengeratkan lagi hubungan kaum,” katanya apabila mengenangkan kisah lalu.

Katanya, kedai keluarga Tan juga menjadi tempat penduduk membaiki basikal.

Sementara itu, Tan berkata, hubungan mereka bertiga masih seperti zaman kanak-kanak walaupun masing-masing mempunyai kerjaya sendiri termasuk dirinya yang menyambung perniagaan kedai bapanya Tan Kim Lui, manakala Sothi pula bekerja sebagai pengawal keselamatan dan Ramli kontraktor kecil.

Katanya, meskipun mereka belajar di sekolah berbeza, namun akan bersama selepas tamat waktu persekolahan termasuk bermain guli, gasing, layang-layang, baling selipar, lastik dan congkak yang amat jarang dilihat waktu ini.

Tinggal dalam kawasan perkampungan Melayu membuatkan Tan turut mengamalkan corak kehidupan orang Melayu termasuk menggemari masakan asam pedas, sambal belacan, berkain pelikat dan kain batik.

Dalam pada itu, Sothi berkata, pada zaman kecil mereka, masa lebih banyak dihabiskan di luar dan bermain bersama rakan, namun berbeza sekarang kerana generasi muda gemar bermain komputer, televisyen dan filem, sekali gus kemesraan kurang terserlah.

Dia yang dibesarkan dalam kalangan keluarga Melayu, mempunyai bapa angkat Melayu menjadikan kehidupan hariannya persis orang Melayu.

“Ketika masih kecil, saya menjaga lembu dan kerbau untuk meneruskan kelangsungan hidup namun dalam masa sama tetap mesra bergaul tanpa mengira kaum.

“Justeru, saya mengharapkan generasi masa kini terus mengamalkan ikatan perpaduan yang tinggi walau di mana saja mereka tinggal untuk jaminan kesejahteraan dan perpaduan nasional,” katanya..

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro