MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Tambakan laut tidak jejas perikanan

Projek tambakan laut di Melaka tidak menjejaskan‎ tangkapan nelayan dan industri perikanan di negeri ini, Persidangan Dun Melaka diberitahu hari ini.

Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka Datuk Hasan Abd Rahman‎ berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha melaksana kawalan bagi mengelak penangkapan berlebihan dan melaksana pelbagai langkah bagi melestarikan hasil‎ laut di negeri ini.

"Mutakhir ini jumlah tangkapan hasil meningkat iaitu 1,935.57 tan metrik‎ dengan jumlah RM24 juta berbanding 1,800 tan metrik dengan jumlahnya RM17 juta.

"Ini bukti jelas tambakan laut tak bawa kesan negatif kepada hasil tangkapan‎ nelayan, malah hasil itu bertambah," katanya ketika menjawab soalan tambahan Lai Keun Ban (DAP-Kota Laksamana) yang ingin tahu sama ada projek tambakan laut membawa kesan negatif kepada tangkapan nelayan di Melaka.

Beliau berkata kerajaan negeri bersama-sama agensi kerajaan lain seperti‎ Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia telah melaksanakan inisiatif seperti menempatkan tukun tiruan di pulau-pulau bagi menggalakan pembiakan hidupan laut.

Hasan berkata, kerajaan negeri dan agensi kerajaan terlibat juga memandang serius usaha menjaga terumbu karang yang menjadi tumpuan hidupan laut terutamanya di Pulau Undan dan Pulau Nangka di perairan negeri ini.

Bagaimanapun katanya, penguatkuasaan tegas terhadap nelayan asing yang menceroboh perairan negara perlu dilaksanakan supaya hasil laut yang dijaga baik ini tidak terlepas kepada mereka yang cuba mengambil kesempatan.

Menjawab soalan lisan Datuk Zaidi Atan (BN-Serkam) yang bertanya jumlah bantuan diberikan kepada nelayan Melaka, Hasan berkata RM2.13 juta disalurkan melalui bantuan sara hidup nelayan dan RM446,970.80 disalurkan melalui bantuan subsidi minyak.

Sementara itu, Exco Komunikasi dan Koperasi Datuk Latiff Tamby Chik ketika menjawab soalan lisan Datuk Md Rawi Mahmud (BN-Tanjung Bidara) berkata pada suku kedua tahun ini, Melaka mencatat penembusan jalur lebar 84.9 peratus iaitu kawasan kedua tertinggi di negara ini selepas Putrajaya.

"Kelajuan capaian Internet di Melaka ialah antara 1 hingga 50 mbps bagi pengguna Internet tanpa wayar dan 1 hingga 100 mbps bagi pengguna talian tetap, bergantung kepada lokasi, pakej dilanggan serta jumlah pengguna," katanya.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron ketika menjawab soalan lisan Goh Leong San (DAP-Duyong) yang bertanya tentang kadar jenayah di Melaka, berkata sebanyak 31,325 laporan polis diterima dan 2,787 suspek ditahan seluruh negeri antara 1 Julai hingga 31 Okt tahun ini.

Sumber:Sinar Harian