MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Seminar 'anti Kristian' boleh makan diri

Seminar “Ancaman Gerakan Pemurtadan Kristianisasi” yang dianjurkan atas nama membantu menguatkan iman umat Islam sebenarnya menghadkan pertumbuhan agama di negara ini, kata seorang pemikir tempatan.

Mengulas seminar yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Lendu, Melaka pada Sabtu lalu, Pengarah Islamic Renaissance Front Dr Ahmad Farouk Musa berkata tujuan utama seminar itu hanya bagi mewujudkan “siege mentality” atau “mengepung minda” orang Melayu.

"Akibat seminar itu, masyarakat semakin berpecah, keharmonian terjejas manakala rasa tidak percaya terhadap agama lain semakin menebal.
 
"Saya tidak fikir dengan menggalakkan mentaliti sedemikian akan membantu apabila negara sedang menuju ke arah mencapai status negara maju menjelang tahun 2020," kata Farouk kepada Malaysiakini.
 
Sebagai perbandingan, beliau berkata lebih ramai orang kini memeluk Islam di negara-negara yang membenarkan "persaingan sihat" di antara agama.
 
Farouk memetik kajian antarabangsa Pusat Penyelidikan Pew mengenai masa depan agama-agama dunia, yang diterbitkan pada April lalu yang mendapati bahawa Islam dikenal pasti sebagai agama yang paling pesat berkembang di dunia, berdasarkan unjuran demografi 2010-2050.
 
Selain daripada pertumbuhan penduduk semula jadi, kajian itu juga mengambil kira faktor-faktor dari "pertukaran agama” dalam unjurannya.
 
Menurut kajian itu, masyarakat Kristian akan kekal sebagai kumpulan agama yang terbesar tetapi Islam akan berkembang lebih cepat daripada mana-mana agama utama lain dalam tempoh empat dekad akan datang.
 
Oleh itu, umat Islam pada 2050 dijangka membentuk lebih daripada 50 peratus daripada penduduk di 51 buah negara.
 
- malaysiakini