MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Pusat Informasi Melaka akan dibangunkan di China

Melaka akan membangunkan Pusat Informasi Melaka bernilai lebih RM100 juta di Zhuhai, Wilayah Guangdong, selatan China dalam usaha mempertingkatkan pengetahuan rakyat China tentang negeri itu. 

    
Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata pembangunan pusat itu akan dilaksana oleh syarikat pelaburan dan pemaju hartanah LBS Bina Group Bhd (LBS) menerusi satu memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri Melaka.
    
Pusat ini akan dibangun di atas tapak berkeluasan 106.6 hektar dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun, katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu, di sini hari ini.
    
MoU itu ditandatangani oleh Idris dan Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Naim Abu Bakar bagi pihak Perbadanan Ketua Menteri, manakala LBS diwakili Pengarah Urusan Datuk Seri Lim Hock San dan Pengarah Eksekutif Datuk Joey Lim Hock Guan.
    
"Kerajaan negeri Melaka amat mengalu-alukan pembangunan Pusat Informasi Melaka kerana ia akan dapat membantu mempromosikan Melaka kepada kira-kira 1.3 bilion penduduk China secara lebih dekat dan tepat.
    
"Kita akan berusaha memberikan semua maklumat yang diperlukan untuk dipamerkan di pusat berkenaan dari semasa ke semasa," kata Idris.
    
Sementara itu, Hock San berkata pusat informasi yang menggunakan reka bentuk rumah Melaka tersebut akan dibangunkan di pintu masuk Zhuhai dan bakal menjadi tarikan pelancong di situ selain membantu industri pelancongan Melaka dan Malaysia amnya.
    

"Kebanyakan penduduk China pernah mendengar tentang Melaka tetapi mereka mungkin tidak tahu maklumat sebenar berhubung negeri ini," katanya.

Sumber:Sinar Harian