MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Polis kumpul bukti siasat dakwaan barang dicuri

Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes kecurian pelbagai barangan berharga bernilai hampir RM10,000 yang didakwa dilakukan sepasukan anggota penguatkuasa ketika serbuan di Jasin Lalang, di sini dalam kejadian Jumaat lalu.

Ketua Polis Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, siasatan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada dua pengadu lelaki warga Bangladesh dan Indonesia masing-masing berusia 33 dan 39 tahun kelmarin.

“Berdasarkan laporan itu, kita menyiasat daripada pelbagai aspek termasuk mengumpul bukti berkait dengan kehilangan wang tunai RM1,750 serta tiga buah telefon bimbit dan tiga bentuk cincin milik kedua-dua pengadu. Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau bagaimanapun berkata, masih tiada tangkapan dilakukan berikutan pengadu mengaku tidak mengenali sesiapa yang masuk ke dalam rumah kongsinya ketika pemeriksaan dilakukan kira-kira jam 1 pagi.

Sementara itu, menurut sumber, operasi diketuai Jabatan Imigresen Melaka itu turut disertai anggota dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Pemeriksaan dilakukan seperti biasa dan semua anggota penguatkuasa beredar kira-kira 2 pagi bersama 11 warga asing yang ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Kedua-dua lelaki berkenaan tidak ditahan berikutan mereka mempunyai pasport dan permit yang sah dan tiada perkara berlaku seperti didakwa mereka dalam laporan polis,” katanya.

Menurutnya, tapak pembinaan kilang itu merupakan lokasi kedua daripada tiga dalam operasi bersepadu melibatkan 32 anggota termasuk masing-masing empat dari JPN dan lima dari AADK.

Semalam, Sinar Harian melaporkan dua lelaki warga asing mendakwa barangan berharga disimpan di dalam rumah kongsi  lesap selepas serbuan sepasukan penguatkuasa, Jumaat lalu.

Sumber:Sinar harian