MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Petik anggur depan rumah

MD Shah menjaga rapi pokok anggur yang ditanam di Kampung Londang, Masjid Tanah.

 

 

 

 

Melaka: Menikmati anggur segar sepanjang tahun tanpa perlu membeli dari pusat beli-belah adalah rutin harian seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Kampung Londang, di sini, sejak 10 tahun lalu.

Md Shah Md Said, 70, kini mampu tersenyum selepas usahanya menanam tumbuhan itu menjadi dan mengeluarkan buah sepanjang musim dalam jumlah mencukupi untuk keluarganya.

Menurutnya, anggur berkenaan ditanam di hadapan rumahnya dan dijaga rapi termasuk mengawal sukatan air yang disiram kerana tumbuhan itu terdedah kepada terik matahari sepanjang tahun dan bukan beriklim sederhana seperti pusat percutian tanah tinggi di Cameron Highlands atau Genting Highlands, Pahang.

“Memang saya menghabiskan banyak masa dan belanja memastikan pokok anggur ditanam sejak 10 tahun lalu segar dan berbuah, namun saya puas apabila menikmati buah itu yang dipetik di halaman rumah sendiri.

“Saya mendapat anak pokok anggur itu daripada adik yang tinggal di Kedah dan menanamnya untuk mengisi masa lapang selepas bersara daripada perkhidmatan TLDM.

“Saya teruja kerana pokok yang hanya tumbuh dalam iklim sederhana tumbuh dan membesar dengan subur di negara ini,” katanya.

Katanya, dia tidak pernah mendapat latihan khusus daripada mana-mana agensi pertanian sebaliknya hanya menggunakan pengetahuan asas menanam pokok, selain meletakkan sabut kelapa pada akar bagi memastikan tumbuhan itu sentiasa sejuk.

Menurutnya, pokok itu menghasilkan buah masam manis, saiznya pula tidak sebesar yang diimport, namun tetap memberikan kepuasan kepadanya berikutan tumbuhan itu sukar untuk hidup atau berbuah pada iklim khatulistiwa.

“Dalam keadaan cuaca di negara ini yang panas dan hujan sepanjang tahun memang agak menakjubkan pokok ini berupaya tumbuh, namun percubaan saya berbaloi.

“Kami juga tidak keberatan sebaliknya mengalu-alukan kedatangan jiran yang mahu menikmati rasa buah anggur tanpa mengenakan bayaran.

“Saya lakukan ini hanya untuk mengisi masa lapang dan langsung tidak mempunyai perancangan untuk menanamnya dalam jumlah besar bagi tujuan komersial di negeri ini,” katanya ketika ditemui.

Md Shah berkata, walaupun hanya satu pokok yang tumbuh penjagaan yang rapi dan penggunaan tanah sesuai membolehkan tumbuhan itu mengeluarkan hasil dalam jumlah agak banyak.

Sementara itu, cucunya Mohd Danish Yazid, 10, berkata, dia seronok kerana dapat merasai pengalaman memetik sendiri anggur di rumah keluarganya berbanding yang dibeli di pusat beli-belah.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro