MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Peranan media mampu pengaruhi minda orang muda - Idris

MELAKA 26 Ogos - Peranan yang dimainkan media pada masa kini dilihat mampu mempengaruhi minda serta menjadi panduan kepada golongan muda terutama dalam penyampaian fakta dan kebenaran.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, anak-anak muda masa kini membaca apa yang ditulis dan diterjemah media seterusnya berpegang kepada apa yang mereka fahami sebagai panduan pada masa hadapan.

Menurutnya, media perlu memainkan peranan dan tanggungjawab dengan cekap dan berkesan supaya maklumat yang disampaikan dapat dijadikan bahan rujukan kepada golongan muda masa kini.

"Sehubungan itu, media masa kini perlu telus dan adil dalam menyampaikan berita serta menceritakan sesuatu fakta dan maklumat supaya tidak diputar belit pihak tidak bertanggungjawab sehingga menolak kebenaran tentang sesuatu perkara itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kolokium Media dan Patriotisme (Cospasm) 2013 di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Md. Rawi Mahmud; Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Prof. Madya Mohd. Adnan Hashim dan Pengurus Besar Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme (Iksep), Datuk Aziz Ujang.

Kolokium selama dua hari itu merupakan anjuran penuntut Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Kampus Alor Gajah dengan kerjasama Iksep.

Idris berkata, penganjuran program itu amat bersesuaian dengan sambutan Hari Kebangsaan bagi memberi pendedahan kepada peserta untuk menghubungkan peranan media dan patriotisme.

Sementara itu, Mohd. Adnan memberitahu, pihaknya percaya program yang diadakan mampu menjadi medan menyuarakan pandangan dalam melaksanakan penyelidikan berkaitan peranan media dan semangat patriotisme.

"Program ini juga diharap dapat menyemai dan menyuburkan semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda," ujarnya.


Sumber:Utusan Malaysia