MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Penumpang cemas bas kemalangan

Lebih 10 penumpang bas henti-henti yang dalam perjalanan dari Gemas ke Tampin cemas apabila bas yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di kilometer 14, Jalan Tampin-Gemas, berhampiran persimpangan masuk Hutan Percha, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 petang itu, kesemua penumpang bas berkenaan bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan meneruskan perjalanan dengan menaiki bas henti-henti syarikat lain yang melalui laluan berkenaan kira-kira 20 minit selepas kejadian.

Menurut jurucakap polis, berdasarkan siasatan awal, kemalangan berkenaan berlaku susulan sebuah kereta jenis Proton Persona dari arah Hutan Percha keluar ke persimpangan di sebelah kanan.

“Dalam masa sama datang sebuah bas henti-henti dari arah Gemas dan berlaku pertembungan sehingga menyebabkan bahagian hadapan sebelah kanan bas rosak,” katanya.

Sementara itu, pemandu kereta Proton Persona berusia 32 tahun yang bekerja sebagai jurujual produk barangan kesihatan berkata, dia baru pertama kali melalui laluan berkenaan untuk bertemu pelanggan di Gemencheh.

“Saya lihat pemandu bas memperlahankan kenderaan dan isyarat ke kiri jalan juga diberikan. Bagaimanapun, bas berkenaan tidak masuk ke simpang dan berlaku perlanggaran,” katanya.

Sumber:Sinar Harian