Kejadian berlaku pukul 11.45 malam ketika mangsa, Wan Mohd. Syafiq Arief Zolkifli, 27, yang dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Simpang Renggam, Johor menunggang motosikal jenis Kawasaki ER-6n sebelum terlibat dalam nahas dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.

Difahamkan, Wan Mohd. Syafiq yang bertugas sebagai pembantu juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan berpangkat Kapten itu menetap di Puchong, Selangor dan memulakan perjalanan ke Johor kira-kira pukul 9.30 malam.

Menurut ibu mangsa, Wan Anum Wan Khalid, 52, arwah yang merupakan anak kedua daripada enam beradik itu sepatutnya berada di Skudai pada pukul 9.30 pagi hari ini untuk menguruskan rumah yang baru dibelinya.

“Kelmarin (Ahad) adalah hari terakhir saya bercakap dengannya menerusi telefon dan arwah mengajak saya menemankannya mengambil kunci rumah yang dibeli di Skudai dan saya setuju untuk mengikutnya.

“Arwah ada telefon lagi malam tadi beritahu akan bergerak dari rumahnya pukul 9.30 malam tapi masa tu adik lelakinya yang jawab sebab saya ke masjid,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Melaka di sini hari ini.

Wan Anum berkata, anaknya yang dipanggil ‘Kapten Power’ dalam kalangan rakan sekerja merupakan seorang yang mudah bergaul dan suka membantu selain sering berjenaka tidak kira ketika bersama keluarga atau kawan-kawannya.

“Arwah anak yang baik dan sentiasa suka buat lawak. Kawan-kawan dia pulak panggil Kapten Power sebab arwah serba boleh, letak sahaja dia di mana-mana boleh dan dia juga ahli jawatankuasa (AJK) Masjid Pangkalan Udara Subang,” katanya.

Sementara itu, isteri Allahyarham Wan Mohd. Syafiq, Nur Atika Shihnan, 27, berkata, dia hanya sempat bertemu arwah suaminya itu di rumah malam tadi sebelum dia yang bertugas sebagai jururawat keluar bekerja di sebuah hospital swasta di Bangi.

“Arwah sampai di rumah kira-kira pukul 6.30 petang selepas dia ke Labuan Jumaat lepas. Dalam pukul 9 malam saya pula keluar rumah dan kira-kira pukul 1.30 pagi hanya baca mesej daripada kawannya beritahu arwah kemalangan dan minta saya bersabar,” katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Muhammad Ismail Muhammad Yusof berkata, mangsa yang dipercayai mengalami kecederaan parah dalaman disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka pada pukul 12.30 tengah malam.

“Kejadian dipercayai berpunca apabila sebuah bas ekspres dipandu lelaki berusia 52 tahun mengelak sebuah kereta yang tiba-tiba memasuki laluannya di sebelah kiri dan bas berkenaan mengelak ke kanan sebelum hilang kawalan lalu terbabas hingga melanggar besi pengadang jalan.

“Pada masa yang sama, motosikal ditunggangi mangsa yang berada di lorong paling kanan dihimpit bas tersebut lalu terjatuh dan mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Menurut Muhammad Ismail, terdapat enam penumpang dalam bas itu yang dalam perjalanan ke Batu Pahat, Johor dan kesemua mereka sedang tidur namun tiada kecede­raan dilaporkan.

“Keadaan jalan ketika kejadian juga lurus namun agak gelap. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source  Utusan Malaysia