MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Parkir sesuka hati pada kawasan pili bomba

Bekalan air tidak mencukupi serta kesukaran water tanker melepasi laluan sempit menyebabkan lima deretan kedai musnah terbakar dan gagal diselamatkan.

Pasukan bomba turut berusaha melakukan tindakan alternatif bergantung kepada dua pili bomba terletak berdekatan, bagaimanapun ia juga menemui kegagalan.

Puncanya, terdapat kereta awam yang diparkir di atas dan disebelah pili bomba.

Akhirnya, dalam kejadian itu, bukan saja memusnahkan premis terbabit, malah memusnahkan dua kedai menjual barangan antik sehingga mengakibatkan kerugian lebih RM1 juta.

Bagaimanapun, itu hanyalah situasi yang digambarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berhubung kesan apabila orang ramai tidak mengendahkan peraturan supaya tidak meletakkan kenderaan dikhaskan berdekatan pili bomba.

Timbalan Pengarah JBPM Melaka, Penguasa Kanan Bomba I Sohaimi Mohamed berkata, kesedaran orang awam berhubung perkara itu masih di tahap membimbangkan.

Beliau berkata, jumlah kompaun dikeluarkan pihaknya terhadap mereka melakukan kesalahan meletak kenderaan di pili bomba meningkat setiap tahun, sekali gus menunjukkan tahap kesedaran masih rendah. Menurutnya, kompaun itu lazimnya membabitkan kesalahan menyembunyikan pili tiang dan pili bawah tanah.

“Sebanyak 43 kompaun dikeluarkan pada 2013 dan jumlah meningkat kepada 73 tahun lalu.  Malah dari awal tahun hingga September lalu, sebanyak 43 kompaun dikenakan terhadap individu yang dikesan melakukan kesalahan itu.

“Kompaun bukan saja dikenakan terhadap pemilik kenderaan, malah pemilik gerai yang menghalang pili bomba,” katanya.

Menurutnya, individu boleh dikompaun RM100 bagi kesalahan pertama atau RM200 untuk kesalahan kedua dan diberi tempoh sehingga 45 hari untuk menjelaskan kompaun tersebut sebelum tindakan mahkamah diambil.

“Berdasarkan rekod, kesalahan banyak dilakukan di kawasan bandar dan tumpuan orang ramai, malah sedikit sahaja melibatkan kawasan luar bandar atau kampung.

“Kita tidak terus mengeluarkan kompaun, sebaliknya meminta pemilik mengalihkan kenderaan atau apa sahaja menghalang pili terlebih dahulu. Tindakan kompaun hanya akan dilakukan selepas pemilik enggan berbuat demikian atau kita tak dapat mengesan pemilik,” katanya di sini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Penyiasatan Kebakaran negeri, Penguasa Kanan Bomba II Wan Syariman Wan Saleh berkata, JBPM berusaha memberi pendidikan mengenai kepentingan pili bomba kepada masyarakat melalui beberapa program.

Sumber:Sinar harian