MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Melaka Tengah rekod bilangan kes denggi tertinggi

Penularan wabak denggi di Melaka sepanjang dua minggu pertama tahun ini menunjukkan peningkatan membimbangkan dengan 146 kes dilaporkan setakat ini.

Ini merupakan peningkatan sebanyak 27 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, di mana sejumlah 115 kes demam denggi dilaporkan.

Bagaimanapun, tiada sebarang kematian dicatatkan setakat ini.

Daripada jumlah kes setakat ini, daerah Melaka Tengah merekodkan bilangan kes tertinggi dengan 93, diikuti daerah Jasin dengan 29 kes dan daerah Alor Gajah dengan 24 kes.

Timbalan Exco Kesihatan, Pembangunan Sukan dan Anti Dadah, Datuk Ng Choon Koon berkata, antara 3 dan 16 Januari ini, sebanyak 20 kawasan di Melaka ini telah dikenal pasti sebagai kawasan wabak denggi atau hotspot, dengan Taman Muhibbah di Jasin mencatatkan jumlah kumulatif kes tertinggi.

Menurutnya, sikap segelintir anggota masyarakat yang menyerahkan bulat-bulat tugas membanteras tempat pembiakan nyamuk aedes kepada pihak berkuasa, terutama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), merupakan antara sebab permasalahan denggi sukar ditangani.

"Ada yang beranggapan kawasan di luar pagar rumah mereka adalah tanggungjawab PBT. Bagi saya, sekiranya kita semua mengatakan ini bukan tanggungjawab kita, sampai bila kita hendak selesaikan masalah ini?

"Jika hari ini tidak ada kerjasama semua pihak, masalah denggi ini tidak akan dapat diselesaikan. Sehubungan itu, saya ingin memohon kerjasama semua supaya turut serta dalam apa jua aktiviti yang dianjurkan sama ada oleh PBT atau Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas satu operasi bersepadu membanteras aedes Jabatan Kesihatan Daerah Melaka Tengah di Taman Ayer Keroh Height di sini, yang turut disertai Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Amirullah Mohd Arshad.

Sumber:Sinar harian