MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Melaka ganti klorin dengan garam untuk rawat air

Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) menggantikan gas klorin dengan garam berkualiti tinggi dalam proses merawat air di semua lojinya bermula hari ini.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Abdul Talib Bachek berkata penggunaan garam itu lebih selamat dan keputusannya memberangsangkan selepas digunakan di tiga lojinya bermula pada tahun 2012.

"Garam tersebut mempunyai kandungan klorin dan sodium yang agak sama dengan gas klorin yang digunakan sebelum ini, namun penggunaan garam itu dilihat lebih selamat (berbanding gas klorin)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, garam yang digunakan perlu diimport dari negara luar seperti dari Perth, Australia dan Shanghai, China memandangkan garam tempatan tidak mencapai kualiti yang diperlukan.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani dokumen kontrak SAMB melibatkan lima syarikat korporat iaitu Lye Marketing, Kamarun Enterprise, Telekom Malaysia Berhad (TM), Greendex Sdn Bhd dan Transgenesis Marketing Sdn Bhd.   

Kesemua kontrak tersebut melibatkan RM6.7 juta bagi kerja-kerja perkhidmatan am, pembekalan paip dan pembekalan garam berkualiti tinggi untuk kegunaan SAMB bagi tahun ini dan tahun depan.

Abdul Talib berkata Melaka adalah negeri pertama di Semenanjung  menggunakan garam tersebut untuk proses merawat air selepas Sabah dan Sarawak menggunakannya sebelum ini.

"Ini adalah pendekatan baharu yang dilakukan SAMB untuk memberikan bekalan air yang lebih baik kepada rakyat," katanya.

Sumber:Sinar harian