MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Media penghubung kerajaan-swasta

Peranan yang dimainkan media mampu menjadi penghubung kepada jalinan usahasama antara pihak kerajaan dan swasta termasuk badan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan dalam membantu golongan yang memerlukan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, beliau menyedari kepentingan fungsi pihak media cetak dan elektronik yang sentiasa berusaha menyampaikan sesuatu berita dan maklumat kepada masyarakat.

Menurutnya, melalui fungsi tersebut, bukan sahaja masyarakat yang mendapat maklumat malah pihak swasta termasuk NGO dan persatuan turut berupaya menerima informasi membantu masyarakat yang memerlukan dan sebagainya.

“Seterusnya, melalui maklumat yang diperolehi itu, pihak swasta akan tampil bersama sokongan pihak kerajaan menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan seperti mangsa bencana alam, mangsa kemalangan dan sebagainya.

“Sifat kebersamaan yang ditunjukkan ini bukan sahaja dimainkan oleh pihak kerajaan dan swasta, ia dijayakan dengan adanya bantuan pihak media yang menyebarkan maklumat kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan ke rumah mangsa ribut di Kampung Permatang Pasir, di sini kelmarin.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Koperasi negeri, Datuk Latiff Tamby Chik; Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar serta beberapa wakil pihak swasta yang membantu.

Jelas Idris, usaha membantu golongan memerulakan ini dimainkan secara kolektif oleh semua pihak dengan kekuatan masing-masing tanpa ada sebarang prasangka dan akhirnya menghasilkan struktur masyarakat yang sempurna.

“Terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan mangsa ribut yang berlaku lebih kurang tiga bulan lalu di kampung ini yang menyebabkan sebahagian rumah musnah ditiup angin kencang,” ujarnya.

Sementara itu, pada majlis sama, Idris turut menyampaikan sumbangan sebanyak 25 basikal kepada kanak-kanak terpilih di kampung tersebut termasuk anak kepada mangsa ribut.

“Sumbangan ini diharap dapat membantu mengurangkan beban keluarga untuk menghantar anak ke sekolah di samping membudayakan amalan bersederhana dari usia muda,” katanya.

Sumber:Utusan malaysia