MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Masih ada yang sayang

Melihat tangan yang berkedut dan terketar-ketar menyuap nasi ke mulut, air mata terus bergenang.

Itulah situasi dilihat di Rumah Seri Kenangan, Cheng, membabitkan warga emas yang menghabiskan sisa masa mereka di situ.

Timbul persoalan di fikiran, apakah yang sebenarnya terjadi dalam sejarah kehidupan warga emas itu sehingga tersisih daripada kasih sayang anak-anak mahupun ahli keluarga.

Rata-rata warga emas yang menetap di rumah kebajikan itu berusia lebih 60 tahun ke atas hanya mampu menagih kasih dan perhatian kakitangan bertugas.

Sinar Harian cuba mendekati beberapa penghuni yang sedang menjamu selera hidangan nasi beralaskan daun pisang dalam satu program meraikan mereka, semalam.

Namun, mereka yang ditemui lebih gemar berdiam diri, seolah-olah tidak mahu diganggu sebaliknya terus menyuap rezeki di depan mata.

Ada juga yang melemparkan senyuman tetapi diri sendiri tidak mengerti apa yang diluahkan sewaktu berbicara.

Bagaimanapun, keceriaan masih jelas terpancar di wajah tua itu apabila diberikan ang pau oleh Pemuda MIC negeri semalam, sempena Deepavali.

Penyelaras Pemuda MIC negeri, S Nadarajah berkata, program kebajikan sosial itu sebenarnya menjadi acara tahunan pergerakan sejak sekian lama.

Menurutnya, sikap prihatin terhadap warga emas sebenarnya perlu wujud dalam setiap diri masyarakat supaya golongan berkenaan sentiasa mendapat pembelaan sewajarnya.

“Inilah salah satu usaha kita mendekati golongan ini, menceriakan hati mereka walaupun kelihatan kecil tetapi harap memberi kesan bermakna buat warga emas di sini," katanya.

Beliau turut menyarankan lebih banyak pihak akan tampil melakukan pelbagai program bagi mendekati warga emas di rumah kebajikan itu sebagai menjalankan tanggungjawab sosial.

Sumber:Sinar harian