MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Maritim tahan dua kapal korek

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim (DM) 5 Kuala Linggi menahan dua buah kapal korek pasir dipercayai melakukan kegiatan menyedut pasir secara haram, kira-kira lima batu nautika dari Sungai Melaka, di sini, semalam.

Ketua Penguatkuasa DM5 Kuala Linggi, Laksamana Pertama, Maritim Abu Bakar Idris berkata, kedua-dua kapal berkenaan ditahan sekitar jam 12 tengah hari hingga 1 petang semalam, dalam Operasi Khas Satria Selatan yang dijalankan sekitar 12 batu nautika di kawasan perairan Melaka.

Menurutnya, operasi khas selama tiga hari berakhir hari ini bukan sahaja mengesan aktiviti haram di sekitar perairan Melaka malah turut memastikan keselamatan pengguna di perairan terjamin.

Kata Abu Bakar, sehingga hari kedua operasi, pihaknya sudah memeriksa 29 kapal termasuk kapal pasir, kapal dagang dan bot nelayan selain mendekati nelayan dengan memberi jaminan kawasan perairan Melaka selamat dari segala aktiviti menangkap ikan.

“Hari ini (semalam) semasa melakukan rondaan dalam operasi khas, anggota APMM berjaya mengesan kehadiran dua kapal korek mencurigakan sedang menjalankan aktiviti menyedut pasir.

"Apabila ditanya, mereka gagal menunjukkan dokumen sah yang mengatakan mereka dibenarkan untuk berbuat demikian di kawasan itu. Sepatutnya kedua-dua kapal ini perlu mempunyai dokumen yang ditandatangani bersama pihak konsesi yang membenarkan mereka untuk menyedut pasir,” katanya ketika sidang media di sini, semalam.

Jelas beliau, susulan itu, kedua-dua kapal berkenaan diarahkan bersauh di pesisir pantai untuk membuat pemeriksaan sebelum mengambil tindakan mengikut undang-undang ditetapkan.

Menurut Abu Bakar, seramai 11 kru berusia antara 40 hingga 50an ditahan bagi siasatan lanjut serta proses dokumentasi sebelum dibebaskan.

Kes akan disiasat mengikut Akta Pelantar Benua 1996.

Katanya, bermula Januari hingga November tahun ini, sebanyak tiga kes dikesan membabitkan kapal korek pasir yang menjalankan aktiviti menyedut pasir tanpa dokumen sah.

“Bagi kesemua kes itu mereka ini didapati melakukan aktiviti menyedut pasir tanpa lesen yang sah dengan tidak memperbaharui lesen.

“APMM akan terus melakukan operasi secara berkala agar aktiviti menyedut pasir tanpa dokumen sah dapat terus ditangani,” katanya.

Sumber:Sinar harian