MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Lesen jual borong, tetapi jual runcit

Premis jualan diesel secara borong yang diserbu didapati menjual diesel secara runcit. FOTO Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Syarikat yang memiliki lesen penjualan diesel secara borong di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, Melaka, didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjual bahan api terbabit secara runcit kepada pemilik kenderaan terutamanya lori sejak awal tahun ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri Jamil Buang berkata, serbuan dilakukan pihaknya kira-kira 12 tengahari tadi mendapati, syarikat terbabit menjual bekalan diesel secara runcit kepada pemandu sebuah lori.

"Sejak dua hari lalu kita mendapat aduan dan apabila melakukan risikan hari ini, secara kebetulan ada pelanggan sedang membeli diesel secara runcit sedangkan syarikat ini hanya memiliki lesen menjual diesel secara borong kepada syarikat industri," katanya.

Menurutnya, pihaknya menyita salah satu tangki diesel itu.

"Kita menyita diesel dalam tangki nombor lima yang mengandungi kira-kira 13,500 liter dan jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh dihukum mengikut Seksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta, kesalahan kedua," katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro