MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Larangan jual arak di Melaka akan dilaksana selepas kajian

Larangan penjualan arak di rangkaian kedai serbaneka 24 jam dalam kawasan majoriti penduduk Islam negeri ini akan dilaksanakan selepas kajian menyeluruh terhadap perkara itu selesai, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata, kajian sedang dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing di negeri ini adalah penting bagi menentukan komposisi tepat penduduk berdasarkan latar belakang agama dan kaum di sesuatu kawasan yang merupakan antara faktor penting bagi pelaksanaan larangan itu.

Katanya pada masa ini Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah telah 80 peratus selesai dengan kajian berkenaan manakala kajian dilakukan tiga lagi PBT iaitu Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Jasin dan Majlis Perbandaran Alor Gajah telah 50 peratus siap.

"Perlukah arak dijual di kawasan 100 peratus penduduk Islam dan perlukah larangan penjualan arak di kawasan 100 peratus penduduk bukan Islam, ini semua perlu kita teliti dengan sebaiknya dalam kajian itu ," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan negeri di sini hari ini.

Pada masa ini katanya kerajaan negeri tidak menentukan tempoh masa bagi menyelesaikan kajian itu kerana mahukan fakta yang tepat serta menyeluruh daripada hasil kajian itu.

Sementara itu, Idris berkata kerajaan negeri akan memastikan kadar cukai taksiran di kawasan pentadbiran MPHTJ adalah pada kadar yang rasional dan tidak membebankan rakyat.

Beliau berkata, faktor yang paling penting dalam menentukan kadar baharu cukai itu ialah keadaan rakyat dan kualiti perkhidmatan yang perlu diberikan kepada rakyat di kawasan tersebut.

"Benar sejak 1985 tiada semakan semula terhadap cukai taksiran di kawasan itu tetapi itu bukan sebab yang kukuh untuk meletak kadar menaikkan cukai itu berdasarkan kenaikan setiap tahun sejak 1985," katanya.

Kadar baharu cukai taksiran di kawasan MPHTJ dijangka akan dilaksanakan pada Julai depan setelah kajian terhadap semakan semula dilakukan, bagaimanapun kadar dicadangkan mendapat bantahan rakyat kerana terdapat kawasan yang mencatat kenaikan sehingga 1,000%.

– Bernama, 7 Mei, 2015.