Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, beliau tidak menolak kemungkinan kewujudan sebuah lapangan terbang baharu itu namun pada masa yang sama Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam akan dikekalkan sebagai hab pengangkutan udara sedia ada.

Menurut beliau, hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan wilayah Guangdong di China yang terjalin sempena kunjungan Gabenor wilayah itu, Zhu Xiaodan ke negeri ini semalam, pihaknya yakin usaha mewujudkan sebuah lapangan terbang baharu itu akan dilaksanakan untuk memberi kemudahan kepada hubungan dua hala antara Melaka dan wilayah selatan China itu.

“Pelbagai perkara dibincangkan sempena lawatan rasmi yang pertama Gabenor Wilayah Guangdong ke Melaka antaranya penerba­ngan terus dari Melaka-Guangdong, langkah memajukan Pelabuhan Laut Maritim di Melaka serta pertukaran sektor pelancongan antara kedua-dua pihak.

“Saya juga tidak menolak kemungkinan hasil hubungan kerjasama yang terjalin antara kerajaan Melaka dan Guangdong ini, kita akan memperbesarkan lapangan terbang sedia ada di Batu Berendam untuk menampung keperluan permintaan pada masa akan datang.

“Melaka juga memerlukan sebuah lapangan terbang yang baharu kerana selain memajukan pelabuhan laut, sektor industri dan pelaburan yang berjumlah AS$10 bilion (RM42.2 bilion) (antara Me­laka dan Guangdong), perlu ada sebuah lapangan terbang yang baharu di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke projek Melaka Gateway di Banda Hilir di sini bersama Xiaodan sempena kunjungan delegasi dari wilayah China itu ke Melaka semalam.

Xiaodan tiba di Melaka semalam dalam kunjungan kali pertama bersama lebih 50 delegasi bagi me­nyaksikan satu lembaran baharu hubungan dalam pelbagai bidang antara kerajaan negeri Melaka dan wilayah tersebut.

Dalam kunjungan itu, Melaka dan Guangdong mencapai kata sepakat untuk bekerjasama dalam beberapa bidang iaitu ekonomi, perdagangan, komersial, pelanco­ngan, budaya dan penggunaan tanah dan ia bakal menjadi satu hubungan kerjasama yang menguntungkan kedua-dua belah pihak.

Menurut Idris, sebanyak tujuh memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara agensi-agensi dan syarikat negeri Melaka dengan pihak yang terlibat dari Guangdong sempena kunjungan tersebut yang jumlah pelaburannya dianggarkan tidak kurang daripada RM2 bilion.

“Saya menganggarkan jumlah keseluruhan nilai pelaburan yang dimeterai hasil kerjasama antara Melaka dan Guangdong ini me­lebihi RM10 bilion jika semua pe­rancangan menjadi kenyataan,” kata beliau.

Idris turut memberitahu, bagi merealisasikan hasrat pembinaan lapangan terbang baharu itu, pihaknya menugaskan portfolio pengangkutan negeri menguruskan pelan pelaksanaannya.

Katanya, pihak wilayah Guangdong juga sanggup untuk menghantar pakar mereka untuk membuat kajian mengenai usaha memperbesarkan lapangan terbang sedia ada di negeri itu.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source  Utusan Malaysia