MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Kerajaan Negeri tidak lindungi salah laku pegawai

Kerajaan Negeri tidak akan melindungi mana-mana penjawat awam yang melakukan kesalahan khususnya melanggar integriti terhadap bidang tugas diamanahkan kepada mereka.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Naim Abu Bakar berkata, beliau menasihatkan setiap penjawat awam perlu mementingkan aspek ketelusan semasa melaksanakan tugas diamanahkan bagi mengelak sebarang permasalahan yang boleh menjejaskan kredibiliti.

Beliau yang mengulas terhadap penahanan seorang pengarah sebuah jabatan di negeri ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menghormati bidang kuasa agensi berkenaan untuk menyiasat sesuatu aduan yang diterima.

“Bahawa itu sewajarnya kalau ada perkara tidak menepati amalan atau peraturan sedia ada, bidang kuasa SPRM untuk lakukan siasatan.

“Saya nasihatkan penjawat awam Melaka supaya lebih pentingkan integriti, telus menjalankan pengurusan harian kerana tanggungjawab kita menanggung amanah yang diberikan perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

“Jangan lakukan perkara menjejaskan kredibiliti dan amat perlu diberikan perhatian kepada semua penjawat awam di Melaka ini,” katanya semasa ditemui di Seri Negeri, hari ini.

Katanya, penahanan berkenaan adalah prosedur biasa bagi membantu proses siasatan dan masih belum ke peringkat dibawa ke mahkamah.

Bagaimanapun, Naim turut memberitahu beliau sudah berjumpa dengan pengarah terbabit untuk mendapatkan maklumbalas dan kedudukan sebenar terhadap perkara yang berlaku.

Terdahulu, seorang pengarah dan pegawai di sebuah jabatan ditahan SPRM malam semalam bagi membantu siasatan mengenai kes tuntutan palsu dan menggunakan kedudukannya bagi memperoleh suapan.

Menurut sumber, pengarah itu mengarahkan tuntutan terbabit disempurnakan kepada kontraktor sedangkan kerja serta perkhidmatan tidak pernah wujud.

Sejumlah dokumen berkaitan perolehan jabatan turut disita SPRM untuk siasatan.

Sumber:Sinar Harian