MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Kampung berhantu: Penduduk rimas ‘terlebih popular’

Penduduk merayu supaya pengunjung tidak lagi datang ke Kampung Lapan kerana penduduk mula rimas dan terganggu dengan kehadiran ramai orang sehingga lewat pagi.

Kampung Lapan di Melaka popular dalam sekelip mata selepas berita kampung itu diserang makhluk halus disiarkan sebuah akhbar tempatan.
 
Kampung itu menjadi perhatian pengamal perubatan untuk menunjukkan kekuatan menghalau dan menangkap makhluk halus yang didakwa mengganggu penduduk kampung itu.
 
Selain itu, Kampung Lapan juga menjadi tumpuan penduduk kampung lain yang datang setiap malam untuk melihat lebih dekat makhluk halus khususnya pocong dan toyol yang dikatakan berkeliaran di kampung berkenaan.
 
Keadaan itu menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan penduduk Kampung Lapan yang rimas dengan kedatangan pengunjung yang tidak dikenali.
 
Tambah lagi , kehadiran pengunjung sehingga lewat pagi menyebabkan penduduk sukar untuk tidur kerana bunyi bising.
 
“Saya mohon berhentilah berkunjung ke kampung ini kerana kami mula rimas, sampai nak tidur pun tak boleh,” kata Othman Wee Talib yang pernah diganggu makhluk halus seperti pocong, puntianak dan toyol.
 
Katanya, pengunjung bertindak melampau apabila datang ke Kampung Lapan semata-mata untuk mengambil gambar hantu di sekitar pokok pisang yang dilaporkan sebelum ini terdapat imej pocong dirakam di kawasan itu.
 
Memetik laporan Harian Metro, keadaan menjadi rimas dan tidak selesa apabila pengunjung merayau ke merata ceruk di kampung sehingga mendatangkan perasaan kurang senang penduduk kampung.
 
“Makhluk ini ada di mana-mana sahaja. Pergilah ke lebuh raya jika mahu ambil gambar. Kesian orang kampung nak tidur awal untuk pergi bekerja,” kata Othman.
 
Akhbar itu melaporkan, penduduk kampung sering kehilangan wang tetapi tida melaporkan kepada polis kerana hanya melibatkan jumlah kecil dan dipercayai dilakukan toyol.
 
Selain dikunjungi penduduk kampung lain, Kampung Lapan juga menjadi tumpuan stesen televisyen tempatan untuk membuat liputan dan menemubual penduduk kampung termasuk merakam visual kawasan pokok pisang yang didakwa menyeramkan.
 
- freemalaysiatoday