Tinjauan Utusan Malaysia di Taman Mini Malaysia dan ASEAN Ayer Keroh di sini mendapati keadaan berjerebu memberi kesan apabila pengunjung di lokasi pelancongan itu agak kurang berbanding pada hari-hari cuti umum lain.

Pemangku Pengurus taman mini tersebut, Rosmi Md. Dali berkata, sejak jerebu melanda negara khususnya di negeri ini minggu lalu, ramai pengunjung khususnya dari negara jiran seperti Singapura membatalkan hasrat pada saat-saat akhir untuk datang ke taman mini tersebut berikutan keadaan cuaca yang berbahaya.

“Kebiasaannya pihak kami menerima kunjungan pelancong dari Singapura antara 25 hingga 30 orang setiap hari namun sejak jerebu melanda negara, bilangan mereka semakin berkurangan.

“Jika sebelum ini taman mini ini dapat menerima kehadiran pengunjung dalam anggaran lebih 100 orang setiap hari namun pada cuti umum seperti hari ini jumlahnya boleh dikatakan hanya sekitar 30 hingga 40 orang sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Menurut Rosmi, pihaknya berharap cuti sekolah yang akan bermula minggu hadapan menyaksikan jumlah kedatangan pengunjung ke taman mini itu meningkat dan turut berharap keadaan jerebu semakin pulih ketika itu.

Antara pengunjung yang ditemui dalam tinjauan di taman mini ber­kenaan semalam ialah rombongan pelancong dari Sungai Ramal, Kajang, Selangor.

Menurut pemandu pelancong rombongan itu, Lee Chin Hock, 67, dia membawa sebanyak 44 peserta terdiri daripada warga emas yang menyertai sebuah pertubuhan kesihatan di Kajang bagi melawat beberapa lokasi pelancongan di negeri ini.

“Bagi saya jerebu tidak menghalang orang ramai untuk melancong tetapi saya lihat ramai yang lebih suka duduk di rumah daripada melakukan aktiviti luar,” katanya.

Salah seorang peserta rombo­ngan itu, Mary Lee Kian Hua, 63, berkata, dia teruja untuk datang ke Melaka hari ini walaupun keadaan cuaca berjerebu dan berbahaya kepada golongan warga emas sepertinya.

“Kami datang dari Kajang untuk menikmati dan melawat tempat-tempat menarik di Melaka dan walaupun berjerebu, hanya 29 daripada 44 peserta rombongan yang mampu untuk turun dan memasuki taman mini ini,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source  Utusan Malaysia