MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Jengkaut 'tergolek'

Keadaan jengkaut terbalik di Jalan Pekan Masjid Tanah, semalam.

 

 

 

 

 

Melaka: “Keadaan ketika itu umpama gempa bumi, kerana saya dapat merasakan gegaran dan mendengar bunyi dentuman yang amat kuat,” kata Mohd Razif Bakrillah, 30, ketika menceritakan detik cemas jengkaut tergelincir dari treler mengangkutnya sebelum terbalik di atas jalan.

Kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Pekan Masjid Tanah, di sini, 3.40 petang semalam, dipercayai berlaku selepas treler terbabit menghadapi masalah brek dan disedari pemandunya selepas gagal memperlahankan kenderaan berat terbabit.

Ketika kejadian dia berada di sebuah kedai makan berhampiran sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dan lantai premis terbabit bergegar menyebabkan dia menyangka kawasan itu di landa gempa bumi.

“Ketika itu saya memang terkejut kerana bunyi dentuman amat kuat namun lega selepas dimaklumkan ia akibat jengkaut berkenaan yang terbalik. Sejurus kemudian saya melihat orang ramai bergegas menghampiri jentera berat itu untuk melakukan pemeriksaan kerana khuatir ada mangsa yang terperangkap.

“Suasana ketika itu amat cemas kerana orang ramai mendapati ada sebuah motosikal dihempap jentera berat itu namun penunggangnya dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, ketika kejadian lori berkenaan dalam perjalanan dari Solok Limau untuk menghantar jengkaut berkenaan ke tapak projek di Kuala Linggi.

Beliau berkata, ketika sampai di lokasi kejadian pemandu treler terbabit gagal memperlahankan kenderaannya sebelum memasuki laluan bersebelahan dan muatan dibawanya tergelincir dan terbalik.

“Kejadian dipercayai berlaku akibat treler yang dipandu lelaki berusia 27 tahun itu gagal berhenti ketika menghampiri persimpangan lampu isyarat.

“Akibat itu jengkaut yang dibawanya tergelincir jatuh dan terbalik ke atas jalan lalu menghempap motosikal milik seorang warga emas berusia 65 tahun,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, siasatan dilakukan warga emas itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan, kemalangan juga tidak membabitkan kenderaan lain dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro