MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Ikut lori sampai rumah

Tindakan anggota penguat kuasa mengekori lori dinaiki sepasang suami isteri membawa kepada penemuan 236 silinder gas petroleum cecair (LPG) di pekarangan sebuah rumah di Taman Merbau Jaya, di sini, semalam.

Tong gas yang dipercayai dijual tanpa lesen itu ditemui anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri kira-kira jam 2.30 petang, selepas mereka mengekori pasangan masing-masing berusia 30-an itu bermula dari Taman Maju, di sini.

Timbalan Ketua Pegawai Penguat kuasa negeri, Rosley Abdullah berkata, penemuan semua silinder terbabit termasuk di belakang rumah milik seorang lelaki itu meragukan pihaknya, meskipun pasangan terbabit menafikan terlibat dengan sindiket penjualan tidak sah.

“Pasangan menaiki lori muatan tong gas itu diekori sehingga ke rumah. Kita dapati kira-kira 209 silinder berisi serta kosong ditemui bukan sahaja dalam lori mereka, tetapi lori lain yang sedia ada di kawasan rumah.

“Kita turut menemui 27 silinder gas termasuk 24 yang masih berisi di bahagian belakang berhampiran dapur selepas pemeriksaan di sekitar rumah dilakukan enam anggota risikan, sebelum mendapati pasangan terbabit menjualnya tanpa lesen,” katanya.

Menurutnya, wanita berusia 37 tahun itu pada mulanya memberi alasan hendak mengambil semua silinder yang dipindahkan di atas lori milik tuan rumah tersebut sejak dua minggu lalu kerana lori dibawanya ketika itu rosak.

“Sebelum sambutan Tahun Baru Cina lalu, wanita itu mendakwa lori dinaiki ketika itu rosak sehingga terpaksa menumpangkan tong gas di lori di rumah itu, sekali gus menafikan terlibat sindiket menjual gas dengan harga lebih mahal untuk mengaut keuntungan.

“Bagaimanapun, alasan itu tak logik dan kita percaya terdapat aktiviti menyalahi undang-undang berikutan terlalu banyak gas disimpan di rumah itu, termasuk di belakang rumah. Sedangkan dapur rumah ini hanya sesuai untuk satu tong gas sahaja,” katanya di sini, semalam.

Rosley berkata, siasatan awal mendapati wanita dan suaminya yang merupakan pekerja sebuah syarikat pembekal tong gas selama 16 tahun memperoleh bekalan daripada syarikat sama dan kini sedang berjinak-jinak menjalankan perniagaan sendiri.

“Mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen atau lesen penjualan atau penyimpanan. Oleh itu, kita tahan pasangan selain seorang lagi lelaki yang juga pemilik rumah ini untuk bantu siasatan.

“Kes membabitkan nilai rampasan sebanyak RM42,000 termasuk dua buah lori ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki bekalan kawalan tidak sah,” katanya.

Sumber:Sinar harian