Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, keutamaan perlu diberikan kepada rakyat kerana masyarakat tempatan turut menyumbang kepada kehadiran dan pembangunan industri milik GLC dalam kawasan berkenaan.

Menurutnya, penglibatan mereka dalam proses pembangunan itu sekali gus membantu memperkasa ekonomi masyarakat di samping memberi keutamaan kepada usahawan bumiputera dan tidak terlalu bergantung kepada kontraktor asing.

“Kebanyakan GLC dilihat masih kurang percaya dengan keupayaan kontraktor tempatan, namun jika golongan ini tidak diberi peluang ia akan menyebabkan usahawan tempatan tidak dapat berkembang maju dan melangkah lebih jauh.

“Justeru, mereka ini perlu diberi ruang dan pendedahan terlibat dalam pembangunan industri bagi mendapat pengalaman serta situasi sebenar dalam melahirkan usahawan yang berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Memperkasakan Ekonomi Melayu negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Melayu, Tan Sri Rahim Thamby Chik; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abd. Rahman dan Pengurus Besar Unit Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, Datuk Hasnoor Sidang Husin.

Dalam pada itu Idris berkata, pihaknya turut menerima cadangan kertas kerja beberapa pelabur dari China yang berminat untuk membina sebuah lapangan terbang di negeri ini.

Katanya, pembinaan lapangan itu bagi menampung keperluan pelabur terutamanya pelabur China yang melabur di Melaka.

“Mereka mencadangkan pembinaan lapangan terbang itu kerana menjangkakan lapangan terbang sedia ada di Batu Berendam tidak dapat menampung jumlah pendaratan kapal terbang sehari.

“Sekiranya projek industri ini berjalan seperti yang dirancang, akan ada lebih 30 penerbangan antarabangsa dalam sehari di Melaka.

“Pembinaan lapangan terbang itu dijangka dibina di Ujong Pasir, dengan keluasan sama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2),” katanya.

Idris berkata, cadangan itu berikutan penyediaan tapak industri dikenali Melaka-Guangdong Industrial Park (Taman Perindustrian Melaka-Guangdong) di Jasin, dekat sini bagi pelabur Guangdong yang meminati bidang perindustrian di negeri ini.

Beliau berkata terdapat juga syarikat yang berminat untuk membina hotel bertaraf enam bintang bagi menampung keperluan pelabur.

“Kita berharap penduduk setempat dan sekitarnya merebut peluang dalam pembangunan sosio ekonomi di situ kelak bagi menjana ekonomi serta meningkatkan taraf hidup,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source  Utusan Malaysia