MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Ditahan selepas buat aksi wheelie

Tindakan seorang lelaki melakukan aksi wheelie menggunakan motosikal berkuasa tinggi sejauh kira-kira 500 meter di Jalan Persisir Pantai, Klebang, di sini membawa padah apabila dia ditahan sepasukan polis trafik, semalam.

Lelaki berusia 21 tahun dari Duyong yang membuat dua pusingan dan aksi mengangkat tayar hadapan ditahan kira-kira lima kilometer dari Dataran 1Malaysia Klebang, lebih kurang jam 2 pagi.

Timbalan Ketua Polis Melaka Tengah, Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, lelaki yang menunggang motosikal Yamaha R1 (1000cc) itu ditahan berhampiran sebuah restoran makanan segera di Limbongan, di sini.

"Lelaki itu dikenal pasti melakukan aksi wheelie di Jalan Persisir Pantai berhampiran Dataran 1Malaysia Klebang sebelum kita tahan kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian.

"Dia juga mengaku motosikal berkuasa tinggi milik bapanya yang berusia 50-an itu dibeli lebih setahun lalu dan kadangkala dipinjamkan kepadanya,” katanya di sini, semalam.

Dalam kes berasingan, Mohd Kamal berkata, seorang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut ditahan dipercayai berlumba secara haram di Lebuh Ayer Keroh berhampiran Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

"Remaja berusia 18 tahun itu menaiki motosikal jenis Yamaha Lagenda berlumba dengan sebuah lagi motosikal dan turut membuat empat lap di jalan berkenaan sebelum berjaya ditahan kira-kira jam 1.30 pagi.

"Remaja yang tinggal di Selandar, Jasin mengaku datang ke kawasan dataran berkenaan bersama rakannya yang membonceng kira-kira jam 10 malam untuk bermain kasut roda,” katanya.

Menurutnya, Operasi Lalu Lintas itu membabitkan lima pegawai dan 54 anggota termasuk Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SPDRM) di empat lokasi berasingan iaitu di Jalan Tun Ali, Jalan Tun Perak, Jalan Persisir Pantai dan Lebuh Ayer Keroh.

Sumber:Sinar harian