MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Dipenjara 12 tahun, 13 sebatan kerana miliki dadah

Seorang operator pengeluaran kilang pembuatan kenderaan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki dadah pada Mei tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Firuz Jaffril menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Khairul Nizam Baba, 28, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan tersebut.

Mohd Firuz menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama; dan dua tahun penjara dan tiga sebatan bagi pertuduhan kedua serta memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu 15 Mei tahun lepas.

Mohd Firuz melepas dan membebas seorang lagi tertuduh yang berusia 21 tahun dipercayai kekasih Khairul Nizam atas pertuduhan yang sama.

Bagi pertuduhan pertama Khairul Nizam didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 16.92 gram di Bilik No 306, Golden Valley Hotel Sdn Bhd, No 17, Jalan Magenta 1, Taman Bertam Mutiara di sini pada pukul 12 tengah hari, 15 Mei tahun lepas.    

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntuk hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh didakwa memiliki dadah jenis monoacetylmorphines seberat 2.22 gram di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) memperuntuk hukuman penjara sehingga lima tahun dan maksimum sembilan sebatan jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sebelum ini, dalam pertuduhan pertama kedua-dua tertuduh didakwa mengedar dadah berkenaan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntuk hukuman gantung sampai mati mandatori, sebelum pertuduhan dipinda.

Dalam hujahannya ketika menjatuhkan hukuman Mohd Firuz berkata jenayah dadah

sudah terlampau banyak berlaku di negara ini dengan surat khabar melaporkannya saban hari, namun masih ada yang tidak serik dan mengambil iktibar.

"Saya tidak boleh ambil ringan tentang perkara ini. Anda (Khairul Nizam) perlu hentikan penglibatan dengan dadah selepas ini," katanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Effizah Ernie Idris, manakala Khairul Nizam diwakili peguam Mohd Hilmy Samsudin dan seorang lagi tertuduh diwakili Tiu Leong Kim.

Sumber:Sinar harian