MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Denda RM9,000 simpan 363 peket rokok seludup

Mohamed Muas (kanan) dijatuhi hukuman denda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret.

 

 

 

 

Melaka: Seorang peniaga runcit didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah menyimpan 363 peket pelbagai rokok seludup di premisnya.

Mohamed Muas Abdul Bary, 26, dari Ayer Keroh Height di sini, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif sebaik tuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa menyimpan barang larangan import, 363 peket (bersamaan 6,148 batang rokok) pelbagai jenama bernilai RM530 di sebuah premis di Jalan Utama, Ayer Keroh Heights, kira-kira jam 4.15 petang, 9 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d), Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, sepasukan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang menjalankan pemeriksaan di premis itu menemui 43 peket rokok dalam laci di kaunter manakala 320 peket lagi disimpan dalam kotak di rak dalam premis itu.

Pemeriksaan lanjut mendapati semua peket rokok itu tidak dilekatkan setem cukai diluluskan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan denda kerana perlu menanggung keluarga dan baru berniaga selamalima tahun.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro