MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Denda RM6,000 miliki MyKad palsu

Melaka: Seorang wanita Indonesia dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas dua pertuduhan memiliki Mykad palsu dan Mykad milik individu lain pada pertengahan bulan ini.

Sebelum ini, wanita terbabit berkeras dengan mendakwa dia dilahirkan di Semporna, Sabah dan tidak menyedari ditipu sindiket Mykad palsu, ketika ditahan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) 15 Ogos lalu.

Namun, semalam tertuduh, Mariye Halis, 53, mengaku bersalah di depan Majistret Norina Maludin, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Wanita yang sebenarnya berasal dari Dumai, Sumatera, Indonesia, didakwa memiliki Mykad palsu atas nama Mariye binti Halis menggunakan alamat di Tronoh Mines, Kampar, Perak, pada jam 4 petang, 15 Ogos 2017, di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Melaka.

 

Bagi Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memiliki Mykad atas nama Noor Zaitul Radiah Roslan beralamat di Kampung Melayu, Teluk Bunut, Banting, Selangor, pada jam 4.20 petang, pada 16 Ogos 2017, di lokasi sama.

Justeru, bagi kedua-dua pertuduhan, Mariye didakwa mengikut Peraturan 25 (1) (e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum di bawah Peraturan-Peraturan sama memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-dua sekali.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro