MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Cucu bimbang keselamatan nenek

Seorang warga emas lupa ingatan dipercayai hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Solok Seberang Perai Utara di sini, sejak awal pagi kelmarin.

Cucu mangsa, Hilal Esa, 23, berkata, kira-kira jam 7.30 pagi sebelum kejadian, neneknya, Alimah Husin, 86, berada di depan rumah, manakala emaknya, Munah Ahmad sedang menyediakan sarapan di dapur.

Bagaimanapun, menurut Hilal, emaknya terkejut apabila seorang penduduk datang ke rumah dan memberitahu ternampak neneknya berada di lorong jalan, kira-kira 500 meter dari rumah.

Kata Hilal, dia terus bergegas keluar dan pergi ke tempat yang dimaksudkan oleh penduduk kampung terbabit, namun gagal menemui neneknya.

"Sejak semalam (kelmarin), kami sekeluarga bersama penduduk cari nenek di kawasan sekitar sehingga ke dalam belukar, namun masih gagal temui nenek.

"Pagi ini (semalam), kami masih teruskan dan belum menemui sebarang petanda. Bagaimanapun, kami harap nenek selamat," katanya.

Hilal yang bekerja di Pejabat Tanah dan Galian Alor Gajah berkata, pada tahun lalu, neneknya pernah hilang lebih tiga hari namun berjaya ditemui di ladang kelapa sawit di Jalan Seberang Gajah, Melaka Pindah.

Menurut Hilal, neneknya yang juga mengalami masalah kurang pendengaran telah hilang beberapa kali selepas mengalami masalah lupa ingatan lebih lima tahun lalu.

"Tetapi nenek ditemui selamat oleh orang kampung yang mana ketika itu nenek dijumpai membawa guni berisi kayu.

"Kali ini, nenek hilang lagi. Sekarang musim hujan dan kami bimbang dengan kesihatan nenek," katanya memberitahu neneknya memakai baju kurung ketika hari kejadian.

Khuatir dengan keadaan neneknya itu, kata Hilal, satu laporan telah dibuat di Balai Polis Rembia, jam 8 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Operasi JPAM Alor Gajah, Leftenan Muda, Mohammad Fairul Asikin Kadir berkata, pihaknya memulakan operasi pencarian lebih kurang jam 9 pagi dengan kekuatan tujuh anggota JPAM Alor Gajah.

Sumber:Sinar harian