Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, sekolah dua tingkat yang dibina di atas tapak seluas 0.647 hektar itu dijangka siap pada penghujung tahun ini.

“Proses penyerahan tapak telah pun dilakukan kepada kontraktor, RNZ Setia Makmur pada pertengahan Januari lalu.

“Walaupun sekolah ini sebelum ini terpaksa berkongsi dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Gangsa namun, mereka tetap bersabar walaupun tempoh masa agak lama iaitu 13 tahun.

“Ini memperlihatkan kebersamaan serta kesefahaman kedua-dua sekolah ini dalam tempoh waktu tersebut dan hari ini kita telah pun memperoleh tapak untuk membolehkan SRA JAIM Gangsa dibina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah sekolah itu sempena lawatan kerja ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal di sini hari ini.

Menurut Idris, sekolah tersebut akan menempatkan sembilan bilik darjah, ruang pejabat beserta pejabat guru besar, kantin serta dewan.

Selain merasmikan majlis tersebut, Idris turut melawat serta mendengar pembentangan pelan cadangan pembangunan pekan Durian Tunggal oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Pada lawatan tersebut, Idris turut merasmikan Surau Al-Ehsan Kampung Bukit Tambun dan Balairaya Kampung Padang Kerbau.

Sumber:Utusan malaysia