MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Bawa diri ke masjid

RAHIM menumpang tidur di Masjid Kampung Hulu sejak seminggu lalu.


 

Melaka: Seorang lelaki warga emas menumpang tidur Masjid Kampung Hulu di sini, sejak seminggu lalu selepas mendakwa dihalau pemilik bilik yang disewanya tidak jauh dari masjid berkenaan.

Rahim Doraman, 70, berkata, dia tiada tempat berteduh menyebabkannya memilih menumpang di masjid sementara mencari tempat tinggal lain.

Menurutnya, sejak kematian isteri Temah Mail, empat tahun lalu, dia yang mempunyai enam anak membawa diri.

“Saya hidup seorang diri berpindah-randah dan empat bulan lalu saya menyewa bilik di kawasan ini, namun lewat membayar sewa dan diminta mengosongkan bilik 18 September lalu.

“Saya bukan sengaja lewat membayar sewa RM150, sebaliknya berdepan masalah kewangan kerana wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) lambat dimasukkan ke akaun menyebabkan saya tidak mampu membayar sewa pada masa ditetapkan,” katanya.

Bekas pengawal keselamatan itu berkata, kehidupan tidak selesa dilaluinya sejak minggu lalu menyebabkan kedua-dua kakinya membengkak hingga membataskan pergerakannya.

“Selepas keluar dari bilik sewa, saya menumpang di Masjid Kampung Hulu dan keadaan yang tidak selesa menyebabkan kaki membengkak dan sakit.

“Saya pernah menjalani pembedahan kedua-dua lutut, tiga tahun lalu dan memerlukan tongkat untuk bergerak, namun tidak pernah membengkak seperti sekarang,” katanya.

Menurutnya, dia pernah mendapatkan rawatan di Hospital Melaka untuk mengetahui punca kakinya membengkak, namun menurut doktor dia tidak mempunyai penyakit.

Katanya, sudah lama dia tidak berjumpa enam anak perempuannya, malah lebih selesa menguruskan dirinya sendiri.

“Anak saya semua berkahwin dan mengikut suami, mereka juga bukan orang senang serta mempunyai tanggungjawab masing-masing. Tambahan pula saya lebih selesa menguruskan diri sendiri walaupun dalam keadaan sebegini,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro