Ketua Unit Sejarah, Jabatan Kajian Sosial, Dr. A. Segahran berkata, sebagai bakal guru, adalah wajar untuk mereka menguasai dan menambah pengetahuan warisan sejarah supaya penghayatannya sampai kepada pelajarnya.

Menurutnya, bagi tujuan itu sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015, Program Jejak Warisan Sejarah dilihat mampu menjadi asas kepada pelajar menguasai pengetahuan warisan sejarah khususnya di Melaka untuk dimanfaatkan dalam proses pengajaran mereka kelak.

“Melaka kaya dengan warisan sejarah yang terdiri daripada monumen, bangunan, artifak termasuklah warisan kesenian masyarakat seper-ti cara hidup dan kesenian tradisi.

“Kita yakin dalam lawatan sambil belajar melalui program ini, pelajar dapat memerhati warisan sejarah yang terdapat di sini sete-rusnya memahami sejarah dengan lebih mendalam,” katanya.

Perasmian program itu disempurnakan oleh Pengurus Besar PERZIM, Datuk Khamis Abas merasmikan program berkenaan di Muzium Rakyat, di sini baru-baru ini.

Segahran berkata, memang sukar untuk memahami dan menganalisis semua warisan sejarah yang berbentuk nyata atau tidak dalam jangka masa yang singkat kecuali mereka yang mempunyai pengetahuan asas dalam bidang terbabit.

“Namun kita yakin program yang kita jalankan ini dapat mendedahkan kepada pelajar mengeani pelbagai sumber dan artifak yang berharga di sekitar Kota Melaka ini.

“Dengan ini, melalui lawatan ke tempat bersejarah, pelajar dapat mengetahui serta memahami bukan sahaja artifak malah mengetahui kisah di tempat bersejarah yang terdapat di negeri ini,” katanya.

Tambahnya, pihaknya bercadang untuk memperluaskan penganjuran program itu dengan bekerjasama dengan guru-guru di negeri ini di samping mengadakan program kepada pengkhususan Jejak Kemerdekaan dalam kalangan pelajar IPG untuk menyemarakkan semangat cintakan negara.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source  Utusan Malaysia