MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

Alasan letih tengok bola, janda dicekup bersama lelaki

Janda anak dua dicekup bersama pasangannya oleh Bahagian Penguat kuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di sebuah hotel bajet selepas mereka menyaksikan perlawanan bola sepak Piala FA antara JDT dan PDRM di Stadium Hang Jebat kelmarin.

Ketua Pegawai Bahagian Penguatkuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, kedua-dua pasangan tersebut yang berasal dari Johor mengakui mereka baharu sahaja pulang menyaksikan perlawanan tersebut dan tidak larat untuk pulang lalu terpaksa menyewa bilik hotel.

Menurutnya, pasangan tersebut yang baharu sahaja tiba di Melaka kelmarin memberi alasan sudah bertunang dan merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam tempoh terdekat ini.

“Wanita berkenaan yang berusia 36 tahun mengakui berstatus janda dan mempunyai dua orang anak manakala pasangan berusia 22 tahun, 15 tahun lebih muda darinya,” katanya. 

Rahimin berkata, operasi yang bermula dari jam 11 malam dan berakhir jam 2 pagi disertai seramai 20 penguat kuasa termasuk empat pegawai Cawangan Penyiasatan Khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, selain pasangan terbabit, enam lagi pasangan berusia antara 19 hingga 36 tahun turut ditahan dalam pemeriksaan membabitkan empat buah hotel di sekitar Batu Berendam.

“Antara yang ditahan seorang lelaki berusia 35 tahun bersama pasangannya yang masih berstatus isteri orang berusia 23 tahun. 

"Penguat kuasa terpaksa menunggu hampir sejam bagi meminta mereka membuka pintu bilik hotel sehingga kami terpaksa menggunakan kunci pendua untuk membukanya.

“Hasil siasatan awal mendapati pasangan terbabit mengaku mereka baharu sahaja mengambil bahan terlarang. Pasukan kami turut menemui beberapa peralatan yang dipercayai digunakan bagi tujuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, kerana bersekediaman dengan bukan muhrim.

“Sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sumber:SInar harian