MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

55,000 rumah mampu milik bakal dibangunkan di Melaka

Sebanyak 55,000 rumah mampu milik (RMM) bakal dibangunkan di negeri ini dalam tempoh tiga tahun akan datang bermula tahun ini dalam usaha memberi peluang kepada rakyat memiliki rumah sendiri.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 25,000 unit rumah RMM akan dibangunkan agensi kerajaan negeri manakala 30,000 unit akan dibina pemaju swasta.

Katanya, setakat ini sebanyak 14,635 unit RMM sedang dalam proses pembinaan dan baki selebihnya akan dibangunkan secara berperingkat sehingga akhir 2018.

"Antara projek RMM yang dalam proses pembinaan termasuklah di Lipat Kajang, Taman Pertam Jaya, Taman Bukit Larang, Taman Pokok Mangga, Pulau Melaka dan Mukim Machap.

"Ada projek yang masih di peringkat awal, ada yang telah mencapai 99 peratus siap sementara yang selebihnya akan dibangunkan dalam masa terdekat secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Cadangan Usahasama Pembangunan RMM di Mukim Machap antara Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Wawasan Intact Properties Sdn Bhd, di Seri Negeri di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Datuk Ismail Othman, Pengarah Wawasan Intact Datuk Ng Choon Koon dan Pengarah Eksekutif LPM Saleh Mohd Dom.

Ng mewakili Wawasan Intact menandatangani perjanjian itu manakala LPM diwakili oleh Saleh.

Idris berkata kategori RMM yang akan dibangunkan termasuk rumah teres, apartment dan rumah bandar berharga antara RM42,000 hingga RM300,000.

"Melaka merupakan negeri yang mempunyai rumah mampu dimiliki berbanding negeri lain seperti laporan yang dikeluarkan Khazanah Research Institute pada tahun lepas," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Wawasan Intact akan mengambil alih Projek RMM di Mukim Machap bermula 1 Februari depan.

Katanya projek pembinaan 296 unit rumah dan rumah kedai mampu milik itu mengambil masa 11 bulan dan dijangka siap pada 31 Disember depan.

Sumber:Sinar harian