MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

100 gelanggang sedang menunggu

Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) merancang membina 100 buah gelanggang silat di seluruh negara bermula tahun ini sebagai usaha menyediakan fasiliti terbaik kepada ahlinya.

Presidennya, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata, pembinaan gelanggang itu akan dilaksanakan terutama di kawasan luar bandar dengan menelan kos sebanyak RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap pembinaan, selain kerja-kerja baik pulih.

Beliau berkata, segala kerja dilakukan menerusi peruntukan kerajaan yang diterima sebanyak RM1 juta setahun dan dijangka akan membina lebih 200 buah gelanggang silat dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Menurutnya, pembinaan itu bukan sahaja dapat memastikan setiap persatuan silat mempunyai gelanggang silat sendiri dan mengetahui prasarana gelanggang dalam keadaan kondusif dan lengkap, malah masih boleh dimanfaatkan mereka.

“Kita akan membina sebanyak 100 buah gelanggang silat itu di kampung-kampung seluruh negara melalui peruntukan yang kita dapat awal tahun ini.

“Dengan adanya gelanggang, persatuan silat ini dapat berfungsi sebab ada sebelum ini yang kita terima, ada persatuan silat tetapi tiada gelanggang selain membaik pulih gelanggang ke arah lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Seminar Jawatankuasa Gelanggang Silat Negeri Melaka di Institut Kemahiran Mara (IKM) Jasin, di sini semalam.

Hadir sama, Exco Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia Melaka,  Datuk Latiff Tamby Chik.

Sementara itu, Mohd Ali yang juga Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) berkata, seminar yang pertama kali diadakan Pesaka bertujuan untuk mengenal pasti bilangan sebenar ahli silat termasuk persatuan silat di negera ini yang kemungkinan berjumlah 200,000 orang.

Dalam masa sama, katanya, ia dapat menyusun serta mengemas kini kegiatan silat di peringkat gelanggang termasuk masalah yang dihadapi ahli mahupun persatuan silat sehingga diperingkat akar umbi.

"Seminar seperti ini akan diperluaskan ke negeri-negeri lain termasuk Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor dengan menggunakan modul sama termasuk Sabah dan Sarawak.

“Dengan menggunakan modul yang sama kita akan meneruskan selepas ini di Wilayah Persekutuan dan ketika ini kita dapat tahu ahli yang aktif atau tidak, masalah lain seperti gelanggang dan juga elaun guru-guru silat.

“Medium ini akan kita gunakan di seluruh negara dan bersama -sama mengenal pasti masalah untuk diambil tindakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Ali turur mengesahkan tiada ahli dari 404 jenis silat di negara ini yang terlibat dengan militan.

“Setakat ini tiada ahli yang terlibat dan kita sentiasa memantau termasuk melalui pertemuan seperti ini bertemu dengan ahli-ahli silat hingga ke peringkat akar umbi,” katanya.

Sumber:Sinar harian