MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Melaka

‘Tangguh dulu sampai ada keputusan’

Penjual rokok elektronik (vape) meminta Kementerian Kesihatan menangguh tindakan merampas perisa vape daripada penjual sehingga status sama ada ia merbahaya atau tidak, diperolehi.

Ini kerana, menurut penjual, mereka terpaksa mengalami kerugian besar disebabkan tindakan kementerian melakukan rampasan, baru-baru ini.

Penjual vape, Mohd Haizi Irwan Ab Rahim berkata, kementerian perlu hentikan penguatkuasaan serta merta rampasan perisa vape sehingga keputusan atau jawapan daripada jawatankuasa khas yang dilantik, diperolehi.

“Kami kesal atas tindakan merampas perisa-perisa vape tanpa memberi notis terlebih dahulu. Seharusnya kementerian memberi ruang kepada kami selaku komuniti melalui wakil seperti Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA) untuk berbincang terlebih dahulu tindakan yang boleh.

“Kami peniaga vape sudah keluarkan modal besar dalam perniagaan ini. Rugi kami sekiranya rampasan ini berterusan,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Nik Azman Nik Yahya, 39, berkata, premisnya di Bukit Beruang didatangi kakitangan kementerian, Khamis lalu dan merampas 78 botol cecair vape dijualnya.

“Terdapat lebih 100 jenis perisa dijual di kedai saya. Purata jualan sehari diperoleh sebanyak 100 botol. Bagaimanapun, kira-kira 78 botol dirampas di kedai saya yang dianggarkan bernilai RM4,000.

“Kira-kira 200 hingga 400 botol cecair vape sahaja yang tinggal sekarang," katanya.

Dia bagaimanapun berkata, operasi kedainya masih seperti biasa selepas rampasan berkenaan.

Kedua-dua mereka ditemui selepas bersama-sama Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Melaka, Sedit Mamud membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah, di sini, semalam berhubung isu rampasan cecair pelbagai perisa vape.

Sementara itu, Sidit berkata, menerusi laporan polis, pihaknya meminta Kementerian Kesihatan memberi garis panduan berhubung penjualan cecair vape, selain turut meminta menghentikan serta merta rampasan dilakukan di premis.

Sumber:Sinar harian